Oleh Dr. Rosmawati Mohamad Rasit
EKORAN menghadapi tekanan ketika pandemik Covid-19, ramai yang tewas tak dapat mengawal perasaan hingga menghancurkan institusi keluarga yang terbina sejak sekian lama.
Yang menjadi mangsa dalam hal ini adalah anak-anak yang tidak mengerti apa-apa tentang tekanan hidup yang dihadapi oleh orang dewasa iaitu ibu bapa mereka.
Sebagai orang Islam, dalam hal seperti ini, kita perlu lebih reda dan berserah segalanya kepada Allah di samping terus mencari penyelesaian terbaik untuk mencapai keluarga sakinah yang mendapat keberkatan daripada Yang Maha Berkuasa.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
DI saat Allah uji dengan mendatangkan pandemik Covid-19, banyak keluarga di negara ini terkesan dengan wabak maut itu.
Ada pasangan suami isteri yang mengalami konflik rumah tangga sehingga berlaku penceraian, ada bapa atau suami kehilangan kerja dan tidak kurang ibu dan isteri yang mengalami tekanan akibat peranan dwi-fungsi kerana bekerja dari rumah (BDR).
Tidak dilupakan juga terdapat anak-anak mengalami tekanan sewaktu mengikut Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Masalah kewangan, keganasan rumah tangga dan tiada lagi persefahaman menjadi antara faktor peningkatan kadar penceraian semasa pandemik.
Peranan bapa sebagai pencari rezeki dan tonggak keluarga diuji apabila ramai kehilangan kerja kerana syarikat tidak beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Isteri yang juga seorang ibu turut mengalami tekanan akibat peranan dwi-fungsi sebagai pencari nafkah dan pada masa sama sebagai suri rumah sangat lelah menguruskan keluarga semasa BDR.
Anak-anak juga terkesan akibat duduk di rumah dalam tempoh agak panjang. PdPR turut memberi tekanan kerana pembelajaran norma baharu.
Ini ditambah dengan desakan untuk menyediakan keperluan untuk mengikuti PdPR seperti gajet dan penyediaan internet yang membebankan sesetengah ibu bapa yang tidak ada pendapatan tetap.
Semua situasi itu memungkinkan pelbagai krisis dan konflik wujud dalam keluarga kerana masing-masing perlu menyesuaikan diri dan beradaptasi dengan norma baharu.
Reda, tawakal dan sabar sudah tentu sangat penting terutama kepada keluarga Muslim agar ia dilihat sebagai ujian Allah bagi menguji hamba-Nya yang beriman.
Justeru, kemampuan keluarga dalam mempertahankan fungsi sosial dan ekonomi ketika pandemik perlu ditangani lebih positif walaupun berdepan tekanan dan krisis.
Institusi kekeluargaan perlu lebih kuat bagi meneruskan kelangsungan hidup dan mencari penyelesaian bagi memperkukuhkan peranan masing-masing.
Antara aspek penting yang boleh diberi perhatian untuk meningkatkan fungsi dan peranan positif dalam keluarga adalah meningkatkan komunikasi berkesan dalam kalangan ahli keluarga di saat berdepan ujian pandemik.
Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan jika setiap ahli keluarga saling berkomunikasi dan berbincang dengan baik.
Aspek komunikasi keluarga yang ditekankan adalah mendukung kejelasan, keterbukaan dan mencari penyelesaian secara bersama.
Banyak masalah boleh diselesaikan jika suami isteri memilih untuk berbincang secara jelas dan terbuka.
Di saat sumber ekonomi yang tidak menentu, sudah tentu memerlukan perbincangan secara terbuka, terutama mengenai perbelanjaan penting melibatkan ahli keluarga.
Suami boleh berbincang dengan isteri mengenai kewangan tanpa menjatuhkan ego sebagai ketua keluarga.

Jika berlaku ujian seperti kehilangan pekerjaan atau situasi yang memerlukan si isteri turut bekerja, suami sepatutnya bersedia mengawal emosi dan mencari penyelesaian seperti berbahagi tugas dalam menguruskan rumah tangga.
Bebanan urusan rumah tangga bukan lagi perlu dipikul oleh isteri semata-mata. Peranan sebagai suami dan bapa turut diperlukan dalam menguruskan kerja rumah dan juga mengambil tahu perihal pembelajaran anak-anak.
Isteri juga perlu memahami emosi dan ego suami yang terpaksa duduk di rumah dalam tempoh yang panjang.
Belajar menghargai pasangan dengan saling memuji dan berterus terang mengenai perasaan masing-masing menjadikan komunikasi lebih berkesan tanpa timbul prasangka yang menjejaskan hubungan.
Begitu juga anak-anak yang mengalami masa sukar apabila perlu bersedia dengan kelas secara dalam talian yang sangat memenatkan.
Akibat pendedahan kepada gajet yang mungkin berlebihan setiap hari menjadikan para pelajar kerap mengalami tekanan belajar yang tinggi.
Oleh itu, perlu wujudkan interaksi dua hala dengan penggunaan perkataan yang baik untuk menegur dan menasihati ahli keluarga agar masing-masing saling menghormati ketika tempoh sukar semasa pandemik ini.
Justeru, Islam menekankan mengenai kewajipan untuk berbuat baik kepada ahli keluarga.
Menjaga kebahagian keluarga menjadi tanggungjawab suami dan isteri dengan menunjukkan akhlak yang baik agar tidak menyakiti pasangan serta menjadi contoh teladan kepada anak-anak dalam segenap hal.
Dalam hal ini, jadikan Rasulullah SAW sebagai model terbaik dalam membina keluarga bahagia.
Hadis Rasulullah SAW, maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”- Riwayat al-Tirmizi.
—————————————————————————-
Dr. Dr. Rosmawati Mohamad Rasit ialah Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.














