PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ramai anak seni sama ada pelakon, penyanyi termasuk kru belakang tabir apabila mereka tidak boleh bekerja seperti biasa selama hampir empat bulan.
Hikmah disebabkan itu semua pula, akhir-akhir ini, beberapa nama besar dalam industri seni dilihat mula mendekatkan diri dengan agama Islam demi mencari reda Allah.
Nama-nama seperti Zul Ariffin, Raf Yaakob, Anuar Zain dan Nana Mahazan perlahan-lahan dikatakan menjarakkan diri daripada dunia glamor.
Kata pelakon Zul Ariffin, 35, dia bagaimanapun akan kekal aktif dalam dunia seni, namun pada masa sama, ingin terus mencari reda Allah SWT.
“Saya tak perlahankan langkah (dalam dunia hiburan). Mungkin disebabkan pandemik Covid-19, orang ingat saya macam nak bersara tapi sebenarnya tidak. Pandemik nak buat apa, berlakon pun tak dibenarkan.
“Saya ikut majlis ilmu dan jumpa orang bijak agama atas dasar nak belajar dan dalami agama. Berada dalam majlis ilmu dan dikelilingi orang-orang baik buatkan kita jadi manusia yang lebih baik. Lebih baik daripada membazir waktu di rumah.
“Orang ingatkan saya sudah berhijrah tapi tak tahu nak cakap macam mana. Bagi saya, saya hanya ingin belajar (agama). Saya masih orang yang sama,” kata pemenang Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular ke-30 itu.
Kelmarin, Zul mengejutkan apabila mengumumkan pengunduran dirinya daripada pencalonan menerusi Anugerah Bintang Popular yang dijangka berlangsung pada 13 November depan.
Dalam pada itu, pelakon Raf Yaakob memaklumkan, pemahaman dan erti penghijrahan bagi setiap individu itu berbeza-beza dan mungkin tidak sama dengan orang lain.
Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob berkata, perubahan dan penghijrahan yang dilakukan atas dirinya adalah bertujuan untuk menjadi manusia dan hamba Allah yang lebih baik serta diredai.
“Hijrah ini banyak makna, ada orang dia berubah untuk nak jadi ustaz, pendakwah dan seangkatan dengannya.
“Percayalah dunia yang kita kejar ini hanya sementara dan tidak akan ke mana. Bagi saya, belajar ilmu agama merupakan satu proses yang tidak akan pernah berhenti dan berterusan sampai bila-bila,” ujarnya yang juga suami pelakon Mawar Rashid.
Perkara itu diakui bekas bintang Akademi Fantasia musim pertama, Nana Mahazan.
“Saya masih Nana yang dulu. Saya cuma nak jadi lebih baik dari segi penampilan. Penampilan ini satu perkara yang saya sedang bergelut. Tapi tak perlu cerita lanjut kepada orang.
“Ini semua proses saya dan saya amat bersyukur. Tuhan beri rasa itu. Bila bertaubat dan lalui saat itu, saya rasa manis dan nikmat,” katanya Nana.
Sementara itu, penyanyi Anuar Zain turut tular di media sosial semalam apabila dilihat menyertai jemaah tabligh bersama pelawak Nabil Ahmad di sebuah pusat agama itu di Selangor.















