LUMUT – Sebanyak tiga tan bekalan ikan segar diagihkan kepada penduduk di Taman Samudera, Seri Manjung di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 5 hingga 18 September ini.
Sumbangan daripada Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) itu diberi kepada 2,500 keluarga.
Pengerusi Penggerak, Mansor Yusof berkata, bantuan bernilai RM15,000 itu diberikan sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab sosial terhadap penduduk di situ.
Menurut beliau, setiap keluarga menerima satu kilogram (kg) ikan kembung yang siap dipek sebagai bekalan barang basah.
“Walaupun Taman Samudera ini bukan penempatan nelayan, tetapi ia kawasan kejiranan pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak.
“Jadi, wajar bantuan diberikan kepada semua penduduk di situ,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris, di Seri Manjung, dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengarah LKIM Perak, Mohamad Rizal Sahari; Penghulu Mukim Sitiawan, Zarina Ishak dan Penghulu Mukim Lumut, Sabdin Idris. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














