fbpx
NURUL SYAHIRAH mahu memperjuangkan topik langit gelap dan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai masalah pencemaran cahaya.

Nurul Syahirah gadis pelukis angkasa, pejuang langit gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUGUSAN bintang yang menghiasi langit malam membuatkan mata Nurul Syahirah Nazarudin, 26, terpesona dengan kerdipannya sambil tangan lincah membuat lakaran lukisan bagi menggambarkan keindahan alam ciptaan Tuhan.

Anak sulung daripada lima beradik itu hakikatnya mula jatuh cinta dengan dunia astronomi seawal usia tujuh tahun kerana membesar di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan yang memiliki pemandangan langit sangat cantik pada waktu malam bersama taburan bintang-bintang.

Kampung tersebut merupakan salah satu lokasi langit gelap iaitu langit yang kurang pencemaran cahaya sehingga membolehkan ia membentangkan panorama langit malam yang indah.

Pencemaran cahaya boleh terjadi ekoran penggunaan cahaya buatan secara berlebihan dan tidak terkawal.

Kebiasaannya di kawasan yang mempunyai ramai populasi penduduk, langit akan mengalami pencemaran cahaya ekoran penggunaan cahaya buatan secara berlebihan sehingga sukar melihat taburan bintang-bintang.

Oleh itu, Nurul Syahirah berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai langit gelap dan kesan pencemaran cahaya yang ramai tidak tahu serta kurang diberikan perhatian.

Sejak di bangku sekolah rendah dia sangat teruja untuk mempelajari ilmu astronomi dan sanggup membuat keratan akhbar serta majalah yang memaparkan perkara tersebut kemudian menampalnya di dalam buku sebagai koleksi peribadi.

GADIS ini mahir dalam pengendalian teleskop untuk melakukan pencerapan langit.

Minat wanita itu disokong sepenuhnya oleh ibu bapanya yang sentiasa peka dengan isu-isu semasa mengenai astronomi untuk dimaklumkan kepada puteri mereka.

“Saya berasa sangat terharu apabila ibu dan ayah membuat kejutan dengan menghadiahkan teleskop ketika usia 13 tahun bagi memudahkan saya membuat cerapan di langit.

“Setiap malam saya akan memanjat bumbung rumah untuk menyaksikan bintang, buruj, meteor, lintasan tahi bintang dan pelbagai keindahan lain di sekitarnya sehingga tidak sedar berada di situ selama dua hingga tiga jam,” katanya yang kini bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Johor Bahru, Johor.

Tambah wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, bapanya yang merupakan seorang guru turut membina ruang khas di atas bumbung bagi membolehkan dia menikmati keindahan malam dengan selamat.

Sehubungan itu, tidak hairanlah Nurul Syahirah kini berjaya menjadi pelukis angkasa yang berbakat besar sehingga menjadi satu-satunya rakyat Malaysia dan wakil Asia Tenggara sebagai ahli seni di Persatuan Seni Astronomi Antarabangsa (IAAA).

Jelasnya, minat melukis sebenarnya telah tumbuh sejak usia lima tahun tetapi sebelum ini dia banyak melukis gambar-gambar pemandangan ketika pergi mengembara dan bercuti.

“Saya mula berjinak-jinak melukis ruang angkasa lepas pada tahun lalu apabila menyertai persidangan anjuran Malaysia Space Initiative-MiSI yang mana mengetengahkan topik seni dan angkasa.

“Kebetulan pula saya memang berminat dalam seni lukis dan astronomi lantas terfikir untuk menggabungkan kedua-duanya kemudian membentangkan karya tersebut pada persidangan itu,” tuturnya yang menggunakan ilmu astronomi dan seni sebagai elemen merentas kurikulum dalam pengajaran bahasa Inggeris.

MINAT Nurul Syahirah untuk membuat lukisan bertemakan angkasa banyak didorong oleh minatnya kepada dunia astronomi sejak kecil lagi.

Nurul Syahirah berasa sangat teruja kerana akhirnya dia berjaya menggabungkan seni dan juga astronomi yang sangat dicintainya. Jika sebelum ini, dia hanya menyaksikan keindahan langit, kini dia melukisnya.

“Sebenarnya langit gelap sangat penting untuk ekosistem kehidupan semua makhluk termasuklah mempengaruhi iklim. Sebagai contoh, pencemaran cahaya akan mengganggu pengeluaran hormon tertentu seperti melatonin sehingga terjadinya insomnia dan pelbagai penyakit lain,” jelasnya yang merupakan salah seorang ahli Dark Sky Ranger di Dark Sky Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai karya-karya seninya, Nurul Syahirah berkata, ia juga merupakan salah satu cara dia melepaskan rindu untuk menatap langit gelap yang penuh dengan taburan bintang-bintang.

Ceritanya, sejak berpindah ke Johor Bahru tiga tahun lalu, dia sukar untuk melihat bintang-bintang, juraian meteor mahupun bima sakti kerana bandar itu mempunyai skala pencemaran cahaya yang tertinggi.

“Menerusi karya lukisan ini saya dapat mengekspresi imaginasi tentang angkasa dan membawa diri terawang-awang di sana dengan menjadi apa sahaja seperti bintang, bulan dan nebula.

“Saya berasa sangat seronok kerana dengan menggunakan karya lukisan ini dapat memberi gambaran angkasa dengan perspektif peribadi,” ujarnya yang mempunyai tiga jenis teleskop.

Lukisan Nurul Syahirah yang bertemakan astronomi dan langit malam itu banyak mengetengahkan motif-motif seperti nebula, galaksi, tahi bintang, gugusan bintang, planet, bulan dan abstrak.

Bagi menghasilkan lukisan tersebut, dia menggunakan medium warna air di atas kertas, akrilik di atas kanvas dan lukisan digital.

LUKISAN yang dihasilkan oleh Nurul Syahirah berdasarkan gambaran angkasa mengikut perspektif dirinya.

Dek kerana kecintaan terhadap seni lukis itu, dia gigih mempelajarinya sendiri dan mengikuti bengkel lukisan dengan pelukis profesional kerana tidak berpeluang mengikutinya di sekolah secara formal sebelum ini.

Kebiasaannya dia akan mendapat inspirasi untuk melukis ketika mencerap menggunakan teleskop dan juga hasil pembacaan berkaitan astronomi.

“Saya mengambil masa sekitar dua atau tiga hari untuk menyiapkan satu lukisan dan ia boleh menjangkau beberapa minggu bergantung kepada kerumitan motif itu.

“Tujuan utama saya menghasilkan lukisan ini ialah untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai astronomi, langit gelap dan pencemaran cahaya,” ulasnya yang juga suka melakukan aktiviti selam skuba, mengembara, menulis dan bermain gitar pada masa lapang.

Demi membuat cerapan di langit gelap, Nurul Syahirah sanggup menjelajah ke beberapa tempat di luar bandar Johor Bahru selain turut melakukannya ketika pulang ke kampung di Kuala Krai.

Kongsinya, terdapat beberapa tempat yang mempunyai langit gelap sangat cantik seperti di sekitar kepulauan Mersing di Johor, Kuala Krai di Kelantan selain Sabah serta Sarawak yang berada di carta teratas.

Dalam pada itu, sebagai guru dan pencinta astronomi, Nurul Syahirah sering dijemput untuk memberi ceramah di dalam dan luar negara kepada penuntut di institusi pengajian tinggi mahupun komuniti pencinta angkasa.

Antaranya, bersama komuniti CosmoQuest, Amerika Syarikat; Presenter For Iranian Tigran Summer Solstice Festival, Iran dan Astronomi Untuk Semua di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor.

Pada masa akan datang, Nurul Syahirah bercadang mengembangkan lagi seni astronomi terutama ketika prasejarah, tamadun purba, abad pertengahan sehingga zaman moden.

Tidak terhenti di situ, dia juga mahu menghasilkan seni astronomi mengenai kisah-kisah bintang di alam Melayu yang merangkumi budaya.

Kini, Nurul Syahirah yang memiliki bakat mengagumkan ini sedang menyiapkan projek filem dokumentari bertemakan langit gelap untuk International Dark-Sky Association.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN