SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengeluarkan surat arahan kepada 112 individu terdiri guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Pegawai Masjid dan Penolong Pendaftar Nikah yang enggan menerima vaksin.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, surat tersebut bagi meminta mereka hadir menerima vaksin dalam program Vaksinasi Khas dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pada hari dan masa yang akan ditetapkan nanti.
“Jika mereka tidak hadir, tindakan sewajarnya akan dimulakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“JAIS sangat berharap agar semua yang terlibat akan hadir pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan vaksinasi di kalangan kakitangan JAIS.
Justeru, Mohd. Shahzihan menegaskan akan menggunakan fungsinya sebagai pengarah JAIS yang perlu dan patut bagi memastikan sebarang usaha dan ikhtiar kerajaan.
“Ini juga selaras titah Sultan Sharafuddin sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di Selangor berada ditahap yang diharapkan dapat direalisasikan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu termasuk guru KAFA di negeri ini enggan menerima suntikan vaksin.
Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan mereka bukan sahaja akan membahayakan diri mereka sendiri, malah turut boleh memudaratkan orang ramai termasuk para pelajar. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














