CERITA menyeramkan sememangnya ada di mana-mana tanpa mengira tempat dan masa termasuk di tempat penginapan ketika bercuti.
Sebab itu, kalau boleh jangan tidur seorang diri di tempat kita baru sampai, dibimbangi ada ‘mata’ mengintai untuk membuat kacau.
Mitos minggu ini mengimbvau kenangan seram seorang wanita yang diganggu penunggu chalet di sebuah pulau di Pantai Timur.
Peliknya, di situ hanya sebuah chalet sahaja yang mengalami gangguan seperti terdengar tandas di pam pada pukul 2 pagi dan nama dipanggil makhkuk ghaib
————————————————————————————————————-
BERCUTI ke tempat peranginan memang seronok kerana ia merupakan masa untuk merehatkan minda dan mencipta momen manis bersama insan tersayang atau sahabat karib.
Namun, tidak semua aktiviti percutian berjalan seperti diingini kerana kadangkala ia memberikan pengalaman seram dan menakutkan yang tidak boleh dilupakan sepanhjang hayat.
Mengimbau kembali peristiwa seram ketika bercuti di sebuah pulau di sebuah negeri di Pantai Timur, seorang wanita dikenali sebagai Ain memberitahu, ia kejadian paling menyeramkan dalam hidupnya.
Katanya, seumur hidupnya tidak pernah mengalami peristiwa yang sangat menakutkan seperti itu dan nasib baik dia tidak pengsan ketika kejadian.
“Pada ketika, itu saya menginap seorang diri di dalam bilik sebuah chalet memandangkan datang bersama rakan-rakan lelaki. Kami memutuskan untuk tinggal di bilik berasingan,” katanya memulakan bicara.
Ain berkata, ketika melangkah masuk ke dalam chalet tersebut, dia berasa seram sejuk tetapi cuba membuang jauh perasan takut kerana menganggap ia hanya mainan perasaan.
Pada malam pertama percutiannya itu, Ain mula diganggu dengan bunyi dan suara menyeramkan pada pukul 2 pagi sehingga dia berada dalam ketakutan amat sangat.
“Saya terbangun dari tidur pada pukul 2 pagi apabila ada suara wanita memanggil nama saya, disusuli dengan bunyi air dari bilik mandi.
“Kedengaran juga seperti ada kuku tajam yang mencakar pintu, seolah-olah ingin masuk ke dalam,” terang anak sulung daripada empat beradik itu.
Tidak tahan dengan gangguan tersebut, Ain pantas menyarung tudungnya dan bergegas keluar bagi mengejutkan kawan-kawannya yang sedang nyenyak tidur di chalet berhampiran.
Keesokan harinya, Ain minta ditukarkan ke chalet bersebelahan dan syukur, di situ dia dapat menjalani percutian dengan lebih aman tanpa sebarang gangguan.

Sementara itu, seorang lagi individu yang ingin dikenali sebagai Erol berkata, dia pernah diganggu ketika bercuti di chalet yang sama.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi apabila dia terjaga selepas terdengar bunyi seperti orang mengepam tandas, tetapi anehnya kedua-dua sahabatnya sedang nyenyak tidur.
“Hanya kami bertiga di dalam bilik itu. Siapa pula yang pam tandas dan juga seolah-olah sedang mandi,” tuturnya.
Arul cuba mengabaikan gangguan itu dan memujuk diri untuk kembali tidur, tetapi kedengaran pula wanita membisik di telinga membuatkannya lantas bangun lalu membuka lampu.
Sebaik sahaja lampu dinyalakan, gangguan itu terhenti dan dia melangkah dengan perlahan menuju ke bilik air, tetapi anehnya tiada sesiapa di situ.
Keesokannya, dia menceritakan kejadian mengerikan itu kepada dua orang sahabatnya itu dan ternyata mereka tidur ‘mati’ sehingga langsung tidak menyedari kejadian seram itu.
“Chalet itu dibina di tengah hutan dan untuk ke pantai kena melaluinya. Tidak mustahil tempat ini agak ‘keras’ dan kita sebagai tetamu perlu menjaga perlakuan, tutur kata serta kebersihan.
“Sebaiknya buat bacaan atau dapatkan maklumat mengenai sesuatu tempat sebelum menempah tempat penginapan,” pesan Erol.
Tambahnya, jangan lupa membaca doa pendinding diri terutama ketika melangkah masuk ke tempat baharu.
————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














