Timbul pelbagai isu mengenai risiko wanita hamil sama ada mereka wajar mengambil suntikan vaksin atau tidak mengambil suntikan vaksin.
Begitu juga dengan aspek apakah tempoh yang sesuai bagi ibu hamil jika mereka perlu divaksin.
Bagi menghuraikan persoalan tersebut, Kosmo! Ahad mewawancara Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Ampang, Prof. Madya Dr. Maizatul Azma Masri.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
WANITA hamil mempunyai risiko kematian sehingga 2.5 kali ganda berbanding individu biasa sekiranya mereka dijangkiti wabak Covid-19
Sejak Mac 2020 hingga Jun lalu, sebanyak 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di negara ini dengan 70 kes kematian direkodkan pada tahun ini bermula Januari hingga 9 Ogos lalu.
Biarpun sehingga pertengahan Ogos lalu, kira-kira 60 peratus daripada 150,000 ibu hamil di seluruh negara yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera sudah menerima vaksin, namun jumlah tersebut bagaimanapun masih belum cukup memuaskan dengan kewujudan varian-varian baharu yang lebih agresif seperti Beta, Gamma, Delta dan terkini Lambda yang ternyata membimbangkan orang ramai terutamanya dalam kalangan ibu-ibu hamil
Bagi membincangkan lanjut mengenai isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Pakar Obstetrik & Ginekologi, Hospital Ampang, Prof. Madya Dr. Maizatul Azma Masri.
KOSMO! AHAD: Sehingga 9 Ogos lalu, seramai 70 wanita hamil direkodkan meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19 di negara ini, manakala 3,396 kes positif membabitkan golongan itu direkodkan dari Mac 2020 sehingga Jun lalu. Bagaimana Dr. melihat situasi ini?
DR. MAIZATUL AZMA: Wanita hamil sememangnya golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk sehingga menyebabkan kematian.
Situasi ini sangat membimbangkan dan perlu ditangani segera memandangkan hanya 40 peratus wanita hamil di negara ini yang telah divaksinasi ketika ini.
Bagi mengurangkan risiko kepada wanita hamil dijangkiti Covid-19, pendekatan yang boleh diambil adalah menerusi vaksinasi. Adakah vaksin benar-benar boleh melindungi mereka daripada pandemik yang semakin menular sekarang?
Vaksinasi menunjukkan bukti keberkesanan jelas bagi melindungi pesakit Covid-19 daripada mendapat jangkitan atau komplikasi lebih teruk.
Perlindungan sama juga dapat dilihat dalam kalangan wanita hamil.
Buktinya, pada Jun lalu , 15 daripada 17 kes kematian Covid-19 dalam kalangan wanita hamil merupakan pesakit yang masih belum menerima vaksin, manakala 2 kes lagi hanya sempat menerima satu dos vaksin.
Sementara itu, lebih kurang 47 peratus kematian melibatkan wanita hamil pula mempunyai komorbid atau masalah kesihatan lain.
Perlindungan daripada vaksin tidaklah bersifat 100 peratus dan wanita hamil juga masih boleh dijangkiti Covid-19 selepas lengkap dua dos vaksin. Bagaimanapun, jangkitan diterima lebih ringan berbanding ibu hamil belum divaksin.
Malahan, vaksinasi juga boleh merendahkan risiko memerlukan kemasukan ke hospital, keperluan rawatan oksigen dan juga kemasukan ke wad jagaan rapi.

Boleh Dr. jelaskan apakah antara simptom dan komplikasi yang boleh berlaku sekiranya wanita hamil dijangkiti Covid-19?
Simptom yang dihadapi mereka juga sama seperti pesakit Covid-19 lain.
Pesakit yang mendapat jangkitan ringan tidak mempunyai sebarang gejala bagi kategori satu atau mengalami gejala ringan bagi kategori dua.
Biasanya akan mengalami simptom seperti sakit tekak, batuk, hilang deria bau atau rasa dan juga demam.
Bagi yang mengalami jangkitan teruk iaitu kategori tiga hingga lima, pesakit mungkin mengalami masalah pernafasan dan memerlukan bantuan pernafasan seperti oksigen dan juga rawatan lanjut sehingga memerlukan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU).
Pesakit juga mungkin mengalami kegagalan pelbagai fungsi organ badan akibat komplikasi jangkitan.
Lazimnya, risiko jangkitan Covid-19 yang teruk lebih tinggi sekiranya wanita hamil pada akhir trimester kedua atau ketiga.
Mereka juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit darah beku (venous thromboembolism) semasa mengandung. Risiko ini lebih tinggi sekiranya mereka mendapat jangkitan Covid-19.
Selain risiko terhadap wanita hamil, jangkitan Covid-19 yang teruk juga boleh menyebabkan risiko kepada anak dalam kandungan seperti keguguran, kelahiran pramatang dan lebih membimbangkan, kematian janin dalam rahim.
Bagaimanapun setakat ini, jangkitan Covid-19 tidak menunjukkan risiko kecacatan kepada bayi dalam kandungan.
Bagi wanita hamil, mereka hanya boleh diberikan suntikan vaksin seawal 14 minggu kehamilan. Boleh Dr. boleh kongsikan rasional di sebalik perkara ini dan apakah kesan sampingan dihidapi si ibu sekiranya mengambil vaksin sebelum tempoh sepatutnya?
Kehamilan pada peringkat awal atau trimester pertama (kurang daripada 14 minggu kehamilan) merupakan trimester sangat kritikal untuk pembentukan organ janin.
Disebabkan itu, garis panduan sebelum ini menyarankan ibu hamil mengambil vaksin selepas 14 minggu kehamilan.
Bagaimanapun, seiring dengan garis panduan semasa daripada badan bertauliah antarabangsa lain seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Royal College of Obstetricians & Gynaecologist, United Kingdom American College of Obstetricians & Gynaecologist, tidak mengehadkan tempoh pengambilan vaksin.
Kementerian Kesihatan juga telah mengemas kini garis panduan untuk wanita hamil baru-baru ini yang mana mereka digalakkan menerima vaksin seawal 12 minggu kehamilan.
Mereka juga boleh mengambilnya lebih awal dengan mengambil kira banyak kelebihan menerima vaksin berbanding risiko jika ibu dijangkiti Covid-19.
Begitupun, sebaik-baiknya wanita hamil perlu menerima dua dos lengkap sebelum memasuki memasuki trimester ketiga (kehamilan 28 minggu ke atas).

– GAMBAR HIASAN
Adakah kesemua ibu mengandung perlu menjalani kelahiran secara pembedahan sekiranya mereka menunjukkan simptom jangkitan pandemik serius? Mungkin Dr. boleh jelaskan kenapa kaedah kelahiran secara pembedahan dilakukan dalam keadaan ini?
Jangkitan Covid-19 tidaklah memerlukan ibu mengandung menjalani kelahiran pembedahan secara total.
Kaedah kelahiran terbaik sama ada secara pembedahan atau normal, bergantung kepada tahap kesihatan ibu dan janin serta beberapa faktor lain seperti kedudukan janin dan faktor keselamatan kawalan jangkitan di hospital.
Sekiranya ibu berada dalam keadaan serius dan memerlukan bantuan pernafasan, pembedahan untuk melahirkan bayi selalunya perlu dilakukan segera bagi membolehkan rawatan lebih efektif dapat diberikan kepada wanita hamil demi menyelamatkan nyawa si ibu.
Terdapat juga segelintir ibu hamil enggan mengambil vaksin kerana khuatir boleh mendatangkan kesan sampingan kepada bayi dalam kandungan. Bagaimana untuk meningkatkan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan vaksin?
Wanita hamil sangat digalakkan untuk mengambil vaksin Covid-19 kerana ia terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan teruk yang boleh menyebabkan kematian.
Vaksin adalah langkah terbaik demi menyelamatkan wanita hamil dan juga anak dalam kandungan, selain daripada menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Data dari AS menunjukkan, seramai 148,000 wanita hamil telah pun mendapat mRNA vaksin seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna tanpa sebarang masalah.
Seramai 62,000 wanita hamil di England dan 4,000 lagi di Scotland juga menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada pelbagai peringkat kehamilan tanpa menunjukkan sebarang kesan sampingan yang merisaukan.
Sebagaimana kita semua maklum, vaksin tidak menjadikan si ibu kebal daripada jangkitan virus. Boleh Dr. jelaskan apakah langkah pencegahan lain yang perlu dilakukan dalam memastikan mereka dan kandungan selamat?
Seperti dijelaskan sebelum ini, wanita hamil yang telah lengkap dua dos vaksin masih boleh mendapat jangkitan Covid-19 secara ringan.
Oleh itu, walaupun telah lengkap vaksinasi, wanita-wanita hamil masih perlu menjaga SOP ketat seperti mengelak kawasan sempit dan sesak serta duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
Jika masih perlu keluar seperti pergi janji temu di hospital atau klinik kesihatan, mereka perlu mengikut saranan SOP seperti menjaga penjarakan fizikal, memakai dua lapis pelitup muka dan juga kerap membasuh tangan atau mengguna cecair pembasmi kuman.
Ahli keluarga juga perlulah memainkan peranan untuk mencapai ‘imuniti kelompok’ di rumah masing-masing dengan mengamalkan SOP ketat apabila keluar rumah dan juga perlu mengambil vaksin demi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam keluarga.

Boleh Dr. berikan sedikit nasihat terhadap ibu hamil dan wanita yang ingin hamil ketika pandemik?
Saya menyeru agar semua rakyat Malaysia khususnya wanita hamil dan yang ingin hamil untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19 secepat mungkin.
Sekiranya mereka berasa risau untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh berbincang lebih lanjut dengan doktor di klinik atau hospital.
Vaksin Covid-19 telah terbukti berkesan dan sangat meyakinkan.
Kami sebagai petugas kesihatan hanya mahu melihat setiap ibu yang hamil selamat melahirkan anak yang sihat di akhir kandungan.
Oleh itu, sama-sama lah kita memainkan peranan dan memberi dorongan kepada wanita hamil untuk mengambil vaksin, seterusnya melalui proses kehamilan dan kelahiran yang selamat di kala pandemik Covid-19 yang mencabar ini.
Vaksin adalah ikhtiar kita untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, selain berdoa dan berserah kepada Yang Maha Esa.
















