PETALING JAYA – Hampir setiap hari bertengkar sejak suami hilang pekerjaan dan akhirnya mengambil keputusan untuk bercerai.
Itu kisah rumah tangga seorang wanita berusia 38 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Shima yang berakhir awal tahun ini.
Shima berkata, suaminya diberhentikan kerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta di ibu negara selepas majikan mengurangkan pekerja pada pertengahan tahun lalu.
“Syarikat tempat bekas suami bekerja tidak mampu bertahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa membuang beberapa kakitangan.
“Sejak itu, perangai dia berubah dan jadi panas baran. Hampir setiap hari kami bertengkar. Akhirnya kami buat keputusan untuk berpisah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Shima yang bekerja sebagai kerani berkata, pertengkaran antara mereka selalunya membabitkan soal wang yang telah berkurangan.
Katanya, dia telah cuba bersabar dengan kerenah suaminya, namun selepas beberapa bulan, perangainya tidak berubah sehingga terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah.
Sementara itu, seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 44, berkata, dia berpisah dengan suaminya akhir tahun lalu selepas kedua-dua mereka sering bertengkar tentang masalah kewangan.
Menurutnya, sebelum pandemik, dia dan bekas suaminya memperoleh pendapatan lumayan dengan menjual pakaian di pasar malam di sekitar Kajang.
Bagaimanapun, katanya, sejak pandemik melanda, perniagaan mereka terjejas dan banyak bergantung kepada jualan secara dalam talian.
Ujarnya, sejak itu mereka kerap bertengkar sebelum suami menghilangkan diri selama beberapa hari.
“Tidak lama selepas itu, dia menghantar pesanan WhatsApp mahu bercerai dan saya bersetuju dengan cadangannya.
“Mungkin itu langkah terbaik buat masa ini, namun bekas suami ada menyuarakan hasrat untuk rujuk semula baru-baru ini,” katanya.
















