MENU anak tebuan goreng yang dimasak bersama kangkung,

Menu anak tebuan hidangan kegemaran masyarakat Siam Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tahukah anda bahawa anak tebuan menjadi buruan masyarakat Siam kerana merupakan makanan eksotik yang sangat sedap, sebab itu tidak hairan harganya amat mahal sehingga mencecah RM2,800 bagi satu kilogram?

“Dalam mencari anak tebuan, saya pernah disengat dua ekor tebuan. Sengatannya amat sakit dan menyebabkan anggota badan bengkak, namun itu bukan penghalang untuk saya mengalah dan serik mencari anak tebuan,” kata Eh Rian dari Pasir Puteh, Kelantan.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar, Panorama Kosmo! membawakan liputan khas mengenai misi ‘pemburuan’ anak tebuan ini kepada pembaca.

 

 

KETIKA ramai orang melarikan diri apabila melihat sarang tebuan di atas pokok, ada pula sebilangan orang yang menganggap habitat ribuan koloni serangga itu sebagai lubuk duit atau makanan mereka.

Bagi Eh Rian Eh Meen, 24, dari Kampung Ketik Buluh, Pasir Puteh, Kelantan bertemu dengan sarang tebuan merupakan satu kepuasaan buatnya.

Bukan mahukan sarang atau tebuan yang berterbangan, sebaliknya anak jati masyarakat Siam itu berhajat untuk mengambil anak atau larva tebuan yang berada dalam kawalan ibu atau ratu serta koloni askar serangga itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa anak tebuan yang berwarna putih susu dan hampir menyerupai ulat sagu itu merupakan antara makanan eksotik yang sering dicari masyarakat Siam di Kelantan khususnya dan boleh dijual pada harga RM28 untuk hanya 10 gram (g).

Menurut Eh Rian yang merupakan seorang pencari anak tebuan, anak serangga itu menjadi juadah istimewa buat keluarganya kerana untuk mendapatkan sebutir anak tebuan bukan semudah membeli ikan di pasar.

Katanya, anak tebuan goreng merupakan hidangan kegemaran dalam kalangan masyarakat Siam di Kelantan kerana rasa lemak yang menjadi keenakan tersendiri ketika menikmatinya.

Selain itu, ramai juga yang menggemari menu anak tebuan yang dimasak masam manis.

ANAK tebuan atau larva tebuan ini menyerupai ulat sagu

Ujar Eh Rian, sebelum keluar mencari sarang tebuan, dia perlu merancang strategi terutama bagaimana untuk membawa turun sarang serangga itu dari dahan pokok yang ketinggiannya mencecah sehingga 10 meter.

“Kebiasaannya, sarang tebuan akan berada tinggi di atas dahan pokok. Sebagai persediaan awal, saya akan membawa obor, galah panjang, parang, pakaian terpakai, tangga dan karung guni.

“Kerja mencari anak tebuan ini dilakukan pada waktu malam kerana serangga tersebut kurang agresif pada waktu itu berbanding siang. Obor akan diletakkan pada hujung galah yang akan dinyalakan dengan menggunakan minyak tanah untuk menghalau tebuan-tebuan askar sekali gus memudahkan kerja mengambil anak serangga itu,” katanya ketika ditemui Panorama di lokasi pencarian anak tebuan di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh baru-baru ini.

SELAIN menu anak tebuan goreng, ramai dalam kalangan masyarakat Siam yang gemarkan hidangan anak tebuan dimasak masam manis.

Menurut Eh Rian, dia dan rakan hanya memilih sarang tebuan besar kerana hasilnya lebih lumayan, manakala yang kecil ditinggalkan supaya dapat terus membesar dan diambil apabila tiba masanya kelak.

Katanya, galah yang dipasang dengan obor itu digunakan untuk membakar lubang utama sarang tebuan dan dia mengakui menangkap anak serangga tersebut lebih mudah berbanding mencari madu lebah.

“Dalam mencari anak tebuan, saya pernah disengat dua ekor tebuan. Sengatan tebuan amat sakit dan menyebabkan anggota badan bengkak, namun itu bukan menjadi penghalang untuk saya mengalah dan serik mencari anak tebuan.

“Apabila sukar untuk memperolehnya, sudah tentu menjadi satu kepuasan buat saya terutamanya apabila dapat membawa pulang anak tebuan ke rumah,” katanya.

Sedikit latar belakang mengenai anak tebuan, di Thailand, serangga tersebut diternak secara komersial dan akan dijual pada harga yang mahal di pasaran negara berkenaan.

AKTIVITI mencari anak tebuan oleh komuniti Siam di Kelantan dilakukan pada waktu malam kerana serangga itu kurang agresif pada waktu itu berbanding siang.

Penternak akan menggunakan baju kalis sengat ketika mengambil larva tanpa membunuh induknya untuk terus bersarang.

Sementara itu, rakan Eh Rian iaitu, Eh Klien Khen Dooi, 25, berkata, kerja mengintip sarang tebuan terutama di atas pokok dilakukan dengan mengesan ibu tebuan yang berterbangan di kawasan pucuk lalu menandakan adanya sarang di situ.

Mengakui pernah membaca laporan berita tentang kematian disebabkan sengatan tebuan, Eh Klien berkata, risiko itu menyebabkan anak tebuan dianggap lebih mahal daripada sekilogram daging lembu.

“Di Thailand, hanya golongan kaya menternak tebuan di lokasi khas semata-mata untuk mendapatkan anaknya. Di kampung ini, kami hanya mencari sarang tebuan liar yang lebih agresif di pinggir hutan. Jika terjumpa umpama rezeki terpijak buat kami.

“Anak tebuan merupakan hidangan turun-temurun keluarga masyarakat Siam. Hidangan ini bukan sembarangan kerana hanya mampu dinikmati oleh orang kaya di negara luar. Kita hanya dapat percuma, namun memerlukan keberanian dan usaha,” katanya.

EH RIAN (kanan) dan Eh Klien (kiri) memasukkan sarang tebuan ke dalam sarung guni untuk dibawa pulang kerana terdapat anak-anak tebuan yang masih berada di dalam sarang.

Menurut Eh Klien, selepas sarang terbakar, kerja memanjat pokok perlu dilakukan untuk menebang ranting atau dahan yang menjadi tumpangan sarang tebuan dengan memastikan semua induk telah mati.

Katanya, meskipun ibu dan askar tebuan sudah mati, dia dan Eh Rian tetap berhati-hati jika ada haiwan berbisa lain seperti ular sebelum mengutip anak tebuan di dalam sarang atau yang terjatuh ke tanah.

“Kami tidak akan tinggalkan walaupun seekor kerana ini adalah rezeki yang bukan hari-hari boleh dinikmati. Selain anak tebuan, sarangnya juga akan dimasukkan ke dalam guni untuk dibawa pulang.

“Ramai penduduk kampung dalam kalangan masyarakat Melayu memanggil kami untuk memusnahkan sarang tebuan di rumah mereka. Sekiranya mendapat panggilan, ia juga merupakan rezeki buat kami apabila dapat membantu mereka dan pada masa sama memperoleh hidangan untuk dibawa pulang,” katanya.

Seorang penggemar hidangan berasaskan anak tebuan, Eh Man Eh Chot, 40, dari Kampung Bukit Yong, Pasir Puteh berkata, menu anak tebuan yang paling istimewa adalah apabila dicelup tepung sebelum digoreng.

“Sebagai penambah rasa, hidangan itu akan dicecah dengan sos cili. Sekiranya berpeluang, saya pasti akan makan anak tebuan goreng ini dalam kuantiti yang banyak kerana amat jarang diperoleh.

“Rasanya lemak manis sama seperti ulat dalam batang sagu. Jika dibakar atau digoreng kunyit, pasti penggemarnya akan kecur liur sebelum menikmatinya hanya dengan nasi panas,” katanya.

Tambah Eh Man, anak tebuan juga boleh dimakan dengan cara kukus, malah ada sesetengah penggemar menyediakannya dengan kuah sup atau tomyam seperti hidangan stimbot.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN