BARCELONA – Bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino dilaporkan menjadi calon paling hampir untuk dilantik mengemudi Barcelona musim depan.
Jurulatih ketika ini, Quique Setien sudah boleh mencari kelab baharu apabila pihak pengurusan The Catalan tidak mempunyai pilihan kecuali memecatnya ekoran kekalahan paling mengaibkan 2-8 kepada Bayern Munich kelmarin.
Ahli Lembaga Pengarah Barcelona akan dimaklumkan mengenai cadangan tersebut dan satu mesyuarat yang dijangka berlangsung hari ini.
Ia adalah langkah awal untuk melakukan perubahan terhadap kelab berkenaan.
Minggu lalu, sebuah stesen radio Sepanyol, Cadena Ser melaporkan, Pochettino dan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu telah menghadiri satu pertemuan dalam sebuah majlis makan malam.
Pochettino sebelum ini merupakan pemain serta pengurus kelab Espanyol yang merupakan musuh setempat Barcelona dan beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bersedia untuk pulang ke Argentina berbanding menerima tawaran sebagai jurulatih The Catalan.
“Saya cuba menjadikan khabar angin itu lebih dramatik dengan jawapan tersebut. Saya bukanlah sombong dan tidak suka mengeluarkan kenyataan seperti itu,” kata Pochettino.
Selain Pochettino, Barcelona dilaporkan turut mengadakan rundingan bersama dua lagi bekas pemain mereka, Ronald Koeman serta Thierry Henry untuk menggantikan tempat Setien.
Sebagai rekod, Setien dilantik pada Januari lalu bagi mengisi kekosongan bekas pengendali, Ernesto Valverde yang dipecat pihak pengurusan pasukan itu.
Ketika ini, nama ketiga-tiga mereka kembali berada dalam senarai teratas, namun Pochettino dilihat sebagai individu paling hampir dan sesuai untuk dilantik ketika Barcelona dalam usaha memberikan nafas baharu buat pasukan itu. – AGENSI