LONDON – Para peminat Mel Gibson dilaporkan perlu membayar tiket bernilai £1,000 (RM5,857) untuk peluang bergambar dan berjabat salam dengan bintang filem terkenal itu dalam satu acara ramah mesra eksklusif yang bakal diadakan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pelakon filem Mad Max itu dijadualkan tiba di London, Glasgow, Birmingham dan Leeds pada November ini bagi acara ‘Sebuah Pengalaman Bersama Mel Gibson’.
Acara temubual itu bakal menawarkan peluang untuk peminat mendekati pelakon berusia 65 tahun tersebut dengan lebih dekat secara eksklusif.
Ia termasuk pakej minum, makan malam dengan persembahan muzik iringan secara langsung serta penampilan Mel Gibson yang akan berbicara mengenai karier lakonannya di Hollywood di atas pentas pada tiket berharga £345 (RM2,021).
Bagaimanapun, sekiranya peminat ingin bergambar dengan pelakon itu, mereka perlu membayar tiket tambahan berjumlah £650 (RM3,807) untuk seorang.
Ini menjadikan jumlah tiket keseluruhan berjumlah £1,000 (RM5,857) yang akan turut memberi peluang kepada peminat untuk membawa pulang gambar bersama Mel Gibson yang mempunyai tandatangannya.
Hanya 20 tempat disediakan untuk tiket terhad tersebut. – AGENSI






