PAKAIAN baharu yang disuai padan dengan yang lama secara bijak dan kreatif, selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih bersahaja dan menarik.

Mahu berfesyen kena ikut kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KINI ramai yang ingin memakai dan memiliki fesyen seperti selebriti biarpun dirinya tidak berkemampuan untuk berbuat demikian.

Perlu diingat tidak semua fesyen yang dikenakan selebriti tersohor sesuai dengan semua orang dan itulah hakikat pahit yang harus ditelan.

Paling penting, kita selesa dengan apa sahaja gaya pakaian yang dikenakan sepanjang hari, selain sesuai dengan postur badan.

Jadilah diri sendiri dengan tidak meniru orang lain dalam berpakaian atau berfesyen kerana kita tahu kemampuan yang ada pada diri sendiri.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

 

 

Oleh FAIZAL HAMID

PAKAIAN merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu.

Amat penting berpakaian bertujuan sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri atau sekadar untuk menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.

Namun begitu, walau apa pun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja tidak keterlaluan dan tidak dibuat-buat.

Paling penting, kita perlu jujur dengan diri sendiri dan sentiasa selesa dengan apa yang kita pakai serta gayakan dalam kehidupan seharian.

Pilihlah padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan apa yang dikatakan trendy oleh orang lain.

Oleh itu, kekalkan item yang paling sesuai dengan umur, potongan tubuh, imej, personaliti serta gaya kita dengan mengambil kira acara, majlis dan lokasi.

Di sini, saya titipkan panduan untuk mempunyai koleksi pakaian dan aksesori yang lengkap bagi pelbagai acara, tetapi masih dalam bajet yang terkawal.

1. Pakaian asas

Apa yang perlu anda lakukan adalah mula isikan almari dengan pakaian-pakaian asas dan klasik dari segi potongan dan warna.

Tidak perlu tergesa-gesa, cuba mulakan secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit.

Pastikan setiap kali membeli pakaian baharu, ia padan dengan apa yang ada dalam almari anda bagi mengelak sebarang pembaziran.

2.Kategori pakaian dan aksesori

Anda juga perlu bijak, bahagikan pakaian dan perhiasan kepada kategori rasmi dan santai. Bermula dari sini, kembangkan isi almari anda.

Untuk memiliki keterampilan yang hebat, tidak perlu sentiasa bergaya mewah dengan pakaian mahal dan berjenama. Paling penting anda mempunyai cita rasa dalam memilih sesuatu pakaian.

Utamakan mutu, pilihan potongan ringkas dan elemen perincian yang berseni dan klasik.

Mahal atau murah adalah sesuatu yang subjektif. Bak kata orang, alah membeli menang memakai.

3.Berpakaian ringkas

Praktikan konsep less is more. Jangan oderdo & trying too hard dalam berfesyen.
Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa.

Ia akan nampak amat pelik dan janggal. Cuba jangan membazir dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini.

Beli hanya beberapa pakaian trendy pada setiap musim dan kemudian suai padan dengan basic items atau apa yang ada dalam almari pakaian anda.

WALAU apa pun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja tidak keterlaluan dan tidak dibuat-buat.

4. Suai padan pakaian lama

Pakaian baharu yang disuai padan dengan yang lama secara bijak dan kreatif, selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih bersahaja dan menarik.

Sebelum bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori yang baru.

Tanya diri sendiri sama ada anda membelinya adalah kerana ia instyle atau kerana anda betul-betul memerlu dan menyukainya.

Jika membelinya hanya kerana logo atau jenama barangan berkenaan, lupakan sahaja niat anda kerana percayalah, akhirnya pakaian tersebut hanya akan menjadi hiasan dalam almari tersebut.

5. Elak bergaya berlebihan

Seperkara lagi, elakkan daripada menjadi hamba media cetak dan elektronik.

Jangan meniru tanpa berfikir apa yang kita lihat di televisyen dan majalah.

Selebriti dan model selalunya overdo trends untuk menarik perhatian media.

Kadang kala gaya yang berlebihan itu selalunya tidak berjaya dalam dunia realiti.

Jika kita berasakan semua mata memandang sinis semasa menggayakan sesuatu trend pakaian atau padanan, berkemungkinan besar ia tidak sesuai dengan diri kita.

Begitu juga dengan trend warna atau rona terang.

Elakkan jika anda tidak biasa serta kurang selesa ketika memakainya.

Kita boleh mengambil inspirasi untuk lebih bergaya, tetapi cuma perlu diingat, ia perlu disesuaikan serta diolah mengikut gaya hidup sendiri.

Selain itu, ia perlu disesuaikan dengan latar belakang masyarakat setempat.

———————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN