KLANG – Seorang gadis memikul tanggungjawab yang besar dalam menjaga adik-adiknya walaupun usia baru 17 tahun apabila ibu mereka meninggal dunia akibat Covid-19 pada 17 Julai lalu.
Amira Najwa Zul yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian ibu, Hayati Abdul Majid, 48, dan tidak mahu terus meratap sedih.
Bapa mereka, Zul Nor pula telah meninggal dunia ketika usia 48 tahun pada 2018.
“Kami sekeluarga meneruskan kehidupan seperti biasa sejak kematian ibu, cuma keadaan di rumah rasa lebih sunyi walaupun kami enam beradik tinggal di sini.
“Abang nombor tiga yang sudah berkahwin pula tinggal di rumahnya sendiri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Amira berkata, arwah ibunya tiba-tiba demam selepas pulang daripada membeli barang keperluan di sebuah pasar raya berdekatan, namun pada awalnya menyangka hanya demam biasa.
Ujarnya, arwah ibunya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi sudah melakukan pemeriksaan di klinik dan bacaan kandungan gula dan darah tinggi berada pada tahap normal.
“Ibu kemudian diminta melakukan ujian calitan Covid-19 dan keputusannya didapati positif sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.
“Selain ibu, kesemua adik-beradik juga melakukan ujian yang sama dan empat orang termasuk saya disahkan positif sebelum diminta menjalani kuarantin di rumah. Syukur kami semua kini sudah bebas Covid-19,” ujarnya.

Amira memberitahu, mereka kini sedang mengatur semula kehidupan termasuk tempat dua adiknya belajar mengikut keadaan kewangan keluarga.
Dia bercadang menukar sekolah dua adiknya itu yang sekarang belajar di sebuah sekolah tahfiz swasta dengan bayaran RM200 seorang setiap bulan.
Mereka juga kini tinggal di rumah sewa dengan bayaran bulanan RM1,100.
“Kami sekarang sedang mencari rumah dengan kadar sewa yang lebih rendah,” katanya
Bagi meneruskan kehidupan, pelajar kursus Reka Bentuk Floral dari Kolej Vokasional Dato Lela Maharaja, Rembau di Negeri Sembilan itu menjual biskut untuk menjana pendapatan sampingan.
Dia menjual Cheesekut pelbagai jenis seperti Nestum, Milo, Oreo dan Blueberry pada harga RM6 sebekas.
Turut dijual ialah biskut cornflakes dan choc chip pada harga RM10 bersaiz balang kecil, manakala bagi balang besar (RM15).
“Saya jual biskut sejak pemergian ibu dengan dibantu dua adik berumur 16 dan 13 tahun. Wang jualan ini kami akan gunakan untuk menampung perbelanjaan seharian,” ujarnya.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan produk boleh berbuat demikian di Instagram @miranjwazul. -K! ONLINE














