Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
JERANTUT – Kira-kira 200 penduduk Kampung Batu Balak di sini hidup dalam ketakutan selepas ‘diserang’ sekawan gajah yang memusnahkan ratusan pokok kelapa sawit dan tanaman penduduk sejak Sabtu lalu.
‘Serangan’ kawanan gajah selama empat hari berturut-turut bermula Sabtu lalu itu memusnahkan sebanyak 350 batang pokok kelapa sawit milik penduduk kampung dengan anggaran kerugian kira-kira RM100,000.
Malah, kawanan 24 ekor gajah liar itu turut memusnahkan sistem air gariviti sumbangan Kementerian Kesihatan yang dibina 20 tahun lalu menyebabkan penduduk di kawasan itu terputus bekalan air sehingga semalam.
Pemilik kebun sawit, Mohd. Rozin Abdullah, 64, berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM40,000 selepas 150 batang pokok kelapa sawit di tanah seluas 2.52 hektar dimusnahkan kawanan gajah liar berkenaan.
“Saya hanya bergantung kepada pendapatan daripada hasil sawit ini selepas tidak dapat bekerja selama empat bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini saya kehilangan semula sumber pendapatan.
“Ekoran kejadian ini saya terpaksa mengambil masa empat atau lima tahun lagi untuk mendapatkan semula hasil sekiranya pokok baharu ditanam,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Mustafa Ibrahim, 84, berkata, dia terkejut apabila kira-kira 200 batang pokok kelapa sawitnya yang ditanam di atas tanah seluas 6.4 hektar musnah sekelip mata akibat serangan gajah liar itu.
Dia yang mengalami kerugian kira-kira RM60,000 itu kini terpaksa mencari modal bagi membersihkan kawasan dan menanam semula kelapa sawit.
“Saya bimbang kejadian ini berulang kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu Balak, Mohd. Johari Umar berkata, ini merupakan kejadian pertama gajah ‘mengamuk’ seterusnya memusnahkan ladang kelapa sawit penduduk.
Katanya, berdasarkan cip yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kawanan gajah berkenaan datang daripada kawasan Hutan Pulau Tawar bagi mencari makanan.
“Pada masa ini penduduk terpaksa mengambil air sungai dan air tadahan hujan selepas sistem air graviti Bukit Batu Garam turut dimusnahkan gajah.
“Perhilitan telah membuat pengawasan sejak hari pertama kejadian dan berdasarkan maklumat, gajah berkenaan telah keluar daripada kawasan kampung dan berjalan menuju ke arah Hulu Tembeling,” ujarnya.















