IBADAH haji yang merupakan rukun Islam kelima sememangnya menjadi impian dan cita-cita setiap orang Islam untuk mengerjakannya walaupun sekali untuk seumur hidup.
Bagi mereka yang berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan diwajibkan untuk menunaikan ibadah tersebut.
Setiap tahun urusan jemaah haji untuk menunaikan ibadah tersebut di negara ini diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Namun begitu, pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyaksikan hasrat bakal haji untuk menjadi tetamu Allah tertangguh lagi pada tahun ini.
Penangguhan itu dibuat susulan kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi musim 1442H hanya dihadkan untuk warganegaranya serta penduduk negara lain yang telah berada di negara itu sahaja.
Bagi membincangkan tentang penangguhan pelaksanaan ibadah tersebut serta hal-hal berbangkit yang lain, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman Mufadhal baru-baru ini.
KOSMO!AHAD: Memandangkan sudah dua kali ibadah haji ditangguhkan, maka giliran mereka yang menunggu mengikut kuota untuk menunaikan rukun Islam kelima itu semakin ramai. Bagaimana mahu menguruskan jumlah tertunggak itu, terutama bagi mereka yang telah menunggu terlalu lama untuk berbuat demikian?
DATUK SERI SYED SALEH: Dalam hal ini, pihak TH masih berpegang kepada sistem penggiliran, yang dahulu didahulukan, begitulah sebaliknya.
Oleh yang sedemikian, bagi urusan Haji tahun hadapan, 1443H/2022M, keutamaan diberikan kepada bakal haji yang mana tahun giliran menunaikan haji adalah pada 2020, diikuti tahun giliran 2021 dan seterusnya.
Bagaimanapun, semuanya tertakluk kepada kuota haji tahun hadapan dan kriteria pemilihan termasuk had umur dan tahap kesihatan yang akan diputuskan oleh kerajaan Arab Saudi.
Untuk makluman, sehingga kini sebanyak 3.6 juta umat Islam di Malaysia telah mendaftar dan masih menunggu giliran untuk menunaikan fardu haji.
Masa menunggu bagi mereka yang baru mendaftar pula telah menjangkau kepada 134 tahun.
Ini adalah di luar kawalan kerana kuota rasmi haji adalah ditetapkan berdasarkan 0.1 peratus penduduk sesebuah negara. Kerajaan Arab Saudi turut mengambil kira perangkaan rasmi penduduk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menetapkan kuota sesebuah negara.
Secara berkala, TH akan memohon untuk kuota rasmi ditingkatkan berdasarkan perangkaan terkini penduduk negara ini. Sebagai contoh, kuota rasmi telah dinaikkan dari 30,200 kepada 31,600 pada 2020.
Adakah terdapat jemaah haji yang mendaftar lebih daripada sekali menerusi pakej muassasah? Adakah ini menyumbang kepada masa menunggu lebih lama kepada bakal jemaah lain?
Sejak 2019, TH tidak lagi membenarkan jemaah haji untuk melakukan ulang pendaftaran haji.
Lagipun ibadah haji hanya diwajibkan sekali sahaja dalam seumur hidup kepada yang berkemampuan.

Jika Kerajaan Arab Saudi membuka semula pintu kepada semua negara bagi ibadah haji dalam tempoh setahun dua dari sekarang, mungkin kuota yang diberi jauh lebih sedikit berbanding sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. Adakah mereka yang terpilih nanti akan mengikut kuota seperti sebelum pandemik?
Dalam hal ini, TH tidak dapat menjangka berapakah kuota rasmi pada tahun-tahun hadapan kerana ia ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Semestinya jika kuota haji diberi kepada rakyat Malaysia, TH akan bersedia untuk membawa kesemuanya ke Tanah Suci, tertakluk kepada keutamaan seperti yang dinyatakan di atas dan memenuhi kriteria pemilihan ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Dalam aspek persiapaan, TH sentiasa memastikan aspek persediaan menguruskan jemaah haji berjalan sepanjang tahun.
Bahkan pada tahun ini dan tahun sebelumnya juga, kita bersiap siaga memastikan bakal jemaah hadir ke kursus haji dalam talian, menasihatkan mereka semua mengambil suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Vaksin Kebangsaan dan sebagainya.
Proses bimbingan haji kepada orang ramai sebelum pandemik kebanyakannya dibuat di masjid, dewan dan sebagainya. Pada masa sekarang ketika Covid-19 masih ‘mengganas’, adakah kursus sedemikian dibuat secara online? Bagaimana pula bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet seperti orang tua di kampung?
TH telah menyediakan beberapa platform bimbingan ibadah haji yang berkesan kepada bakal-bakal haji.
Sebagai contoh, bermula musim lalu lagi, kita memperkenalkan Kursus Asas Haji secara dalam talian.
Kursus-kursus yang diberikan ini juga tidak hanya disertai oleh mereka yang berada di bandar, malah di kampung-kampung dengan capaian internet yang baik dan mudah dengan kehadiran keseluruhan mencapai hampir 90 peratus.
Melihat keadaan pada masa kini, insya-Allah, TH akan terus menambah baik aspek penyampaian pada masa depan.
Video-video bimbingan ibadah haji akan terus dimuat turun oleh TH di laman web supaya proses pembelajaran dan mengulangkaji akan lebih mudah kepada semua umat Islam, bukan sahaja bagi bakal haji tahun semasa.
Berapakah jumlah umat Islam di Malaysia yang sudah mendaftar menunaikan haji (mengikut peratus pecahan umur dan jantina)?
Sehingga kini, seramai 3.6 juta umat Islam di Malaysia telah mendaftar untuk menunaikan haji.
Daripada jumlah itu, seramai 55 peratus adalah wanita dan jika diambil kira daripada pecahan umur, hampir 45 peratus daripada keseluruhan yang mendaftar adalah berumur 60 tahun dan ke atas.
Alhamdulillah, sejak penubuhannya, TH telah mengendalikan seramai 1.5 juta umat Islam dari Malaysia yang telah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Saban tahun, pengurusan haji Malaysia diangkat sebagai pengurus haji unggul di persada antarabangsa. Bagaimana Tabung Haji memastikan aspek pengurusan haji yang melibatkan kos, bayaran haji, dan bimbingan kepada bakal-bakal jemaah dijaga? Mungkin boleh jelaskan sedikit jangkaan dan perancangan TH?
Impak yang paling besar kepada aspek pengurusan haji setiap tahun, sudah pastinya berkaitan dengan kos.
Kos haji sudah pasti meningkat dengan pelbagai amalan norma baharu seperti ada penjarakan fizikal, kawalan pergerakan dan sebagainya.
Lihat sahaja pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan tiga pakej dengan kemudahan-kemudahan yang ditawarkan antara RM15,000 hingga RM20,000 seorang.
Kos ini hanya melibatkan perbelanjaan semasa ibadah haji dari 8 hingga 12 Zulhijjah, iaitu sepanjang lima hari di sana.
Tanpa norma-norma baharu, kos haji bagi Jemaah Malaysia adalah sekitar RM25,000.
Namun dengan norma baharu, kita harus menjangkakan kos yang perlu dibelanjakan akan lebih tinggi.
Bagi aspek bayaran haji oleh jemaah pula, kita akan tentukan selepas mengetahui kos haji sebenar.
Ini kerana, TH perlu mencari imbangan terbaik antara penetapan jumlah memberi bantuan kewangan haji dan mengagihkan pendapatan keuntungan kepada semua pendeposit, kerana keduanya adalah daripada tabungan yang sama.














