KUALA LUMPUR – Kerakusan sindiket hidupan liar untuk memperoleh keuntungan jutaan ringgit menjadi faktor mereka memberi upah lumayan kepada pemburu haram warga asing yang mahir membuat jerat dan selok-belok hutan.
Lebih mudah apabila sindiket menjadikan warga asing yang kononnya masuk ke negara ini sebagai penjaga tanaman untuk menjadi pemburu haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Difahamkan, warga asing yang dipilih biasanya mempunyai kepakaran mengenai selok-belok hutan dan mahir memasang jerat selain mampu hidup lama di dalam hutan untuk menanti perangkap yang dipasang mengena.
Sindiket itu langsung tidak peduli tentang kehilangan khazanah negara mahupun sesetengah haiwan yang merupakan spesies terancam.
Satu sumber berkata, berdasarkan tangkapan sebelum ini warga Vietnam, Thailand, Kemboja dan Indonesia dikenal pasti menjadi individu yang diupah sindiket berkenaan.
Katanya, warga asing mampu hidup lama di dalam hutan bagi memastikan jerat yang dipasang mereka itu mempunyai hasil.
“Kadar upah warga asing ini tidak mahal sebab sindiket sudah mengambil mereka sebagai pekerja tetap tetapi ada juga komisen khas diberi berdasarkan jenis haiwan yang diperoleh.
“Jika haiwan itu menjadi rebutan di pasaran gelap, sindiket akan mengaut keuntungan berjuta ringgit, manakala upah pula akan diberikan lingkungan RM1,000 hingga RM3,000.
“Upah itu besar nilainya jika ditukarkan kepada nilai mata wang negara mereka,” katanya kepada Kosmo! semalam.

di negara ini.
Semalam Kosmo! melaporkan polis Johor memberkas enam individu dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haram di Kluang dan Mersing.
Suspek berusia antara 33 hingga 53 tahun dibuat susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang murka terhadap aktiviti pemburuan haram di beberapa kawasan di negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemburu haram menggunakan barangan yang mudah didapati di kedai perkakas untuk membuat jerat.
Katanya, operasi sering dilakukan di dalam hutan untuk membuang jerat yang dipasang pemburu haram.
“Jerat tersebut bukan saja murah, malah cara untuk menghasilkannya boleh dipelajari menerusi YouTube. Kita telah menemui beribu jerat sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau telah mengerahkan dua Batalion Pasukan Gerakan Am untuk membantu Perhilitan membanteras
aktiviti pemburuan haram.
“Perbuatan itu menjijikkan dan tindakan tegas wajar dikenakan terhadap pesalah bagi mengelak kegiatan itu berleluasa,” katanya yang pernah mengesyorkan pemburu haram wajar dikenakan hukuman sebat.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Konservasi Perhilitan, Dr. Pazil Abdul Patah berkata, nilai yang tinggi di pasaran gelap dalam dan luar negara juga menyebabkan haiwan itu diburu.
“Antara yang menjadi tumpuan ialah rusa, kijang, pelanduk, landak, tenggiling dan ayam hitam. Harganya bergantung kepada saiz dan boleh mencecah RM1,000 seekor.
“Selain itu, kepercayaan mitos, perubatan, perhiasan serta lambang kekayaan juga menjadikan pemburu haram mengaut keuntungan dengan hidupan liar itu,” katanya.














