SUNGAI PETANI – Dua lelaki yang berdegil untuk keluar dan masuk dengan sesuka hati ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lalang dan Bakar Arang dekat sini ditahan polis hari ini.
Kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 44 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan di dua lokasi tersebut pada petang ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memberitahu, suspek ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam, melakukan ugutan jenayah dan ingkar arahan PKPD.
“Lelaki berusia 47 tahun bertegas untuk keluar masuk sesuka hati dan enggan menurut arahan sebelum mengugut untuk merempuh sekatan jalan raya (SJR) Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.
“Suspek kemudian memecut laju kereta Proton Saga BLM dan cuba merempuh anggota polis bertugas serta melepasi sekatan sebelum berjaya ditahan di rumahnya di Taman Bandar Baru,” katanya di sini hari ini.
Menurut Adzli, kes kedua membabitkan seorang pemandu bas kilang yang ditahan di SJR di hadapan sebuah kilang di Bakar Arang.
Tambahnya, permohonan reman ke atas kedua-dua lelaki itu termasuk suspek pertama yang memegang kad orang kelainan upaya (sakit mental) akan dibuat esok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














