BENTONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4.06 juta sejak penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Akta 342 dilaksanakan pada 13 Mei tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam tempoh itu sebanyak 714 daripada 634,350 premis yang diperiksa telah dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.
“Setiap hari kita buat pemeriksaan sebab penguat kuasa kita sentiasa di lapangan, kita ada 72 pusat penguatkuasan seluruh negara yang mana pegawai penguatkuasa kita sentiasa memantau dan aduan sentiasa diterima.
“Antara kesalahan SOP yang dilakukan ialah tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu, tiada aturan penjarakan, tiada pencuci tangan dan sebagainya,” katanya selepas melakukan tinjauan penguatkuasaan pematuhan SOP PKP Sektor Perdagangan Pengedaran Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara di Pasar Raya TF di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam.
Menurut Alexander pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang baik iaitu 98.56 peratus premis didapati patuh kepada SOP ditetapkan.
“Hanya 0.1 peratus premis sahaja yang dikenakan kompaun manakala selebihnya iaitu 1.23 peratus premis diberi nasihat dan amaran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perincian mengenai pelaksanaan pemberian vaksinasi kepada barisan hadapan sektor perdagangan pengedaran akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perinciannya dimuktamadkan bersama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).
Katanya, pelaksanaan vaksinasi kepada barisan hadapan sektor perdagangan pengedaran akan memberi manfaat kepada hampir 500,000 barisan hadapan sektor berkenaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














