SIAPA sangka penampilan pertama perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 membawa tuah buat dirinya apabila dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan nanti.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih pemain badminton berusia 23 tahun itu bagi mengambil alih tugas tersebut daripada atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad yang mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pertandingan.
Justeru, pemenang kejohanan Seluruh England (All England) itu akan bergandingan bersama pemain beregu campuran, Goh Liu Ying bagi mengetuai kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan 23 Julai ini.
Zii Jia tanpa berselindung mengakui terkejut dengan keputusan itu, namun menganggap ia sebagai penghormatan yang cukup besar selain berterima kasih kepada MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Saya baru mendapat berita bahawa saya dipilih sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Olimpik nanti. Terima kasih kepada MOM, MSN dan BAM atas keputusan ini.
“Sudah tentu saya agak terkejut kerana tidak sangka diberi penghormatan begitu besar, lebih-lebih lagi di pentas besar seperti Sukan Olimpik,” kata pemain kelahiran Alor Setar itu.
Zii Jia juga berharap tugas selaku pembawa Jalur Gemilang akan menjadi sumber motivasi buat dirinya bagi menampilkan aksi terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Ini adalah pembakar semangat untuk saya berentap di sana nanti. Saya harap semuanya berjalan dengan lancar dan boleh keluarkan aksi sebenar apabila turun ke gelanggang,” ujarnya.