fbpx
KOLEKSI Adibusana Raya juga sesuai dipakai pada majlis tertentu kerana ia direka untuk kelihatan elegan.

Nak beraya tak perlu ikut selera orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGANGKAT tema feminisme, Koleksi Adibusana Raya daripada jenama Arunsayfull bukan sahaja tampil mewah dan elegan, tetapi menawarkan potongan rekaan yang lain daripada kebiasaan.

Dua orang pereka muda yang mengasaskan jenama tersebut Arun Chee, 26, dan Mohd. Saiful Izham, 34, menawarkan 15 pilihan rekaan Koleksi Adibusana Raya.

Menariknya, setiap satu busana itu mempunyai perwatakan berbeza yang mencerminkan identiti si pemakai.

Menurut Arun, koleksi busana tersebut direka untuk memenuhi watak-watak wanita yang berbeza seperti lembut, ranggi, glamor dan berani.

“Fesyen sebenarnya tentang keselesaan kita menggayakan sesuatu dan tidak seharusnya mengikut selera orang lain.

“Oleh itu, kenal pasti gaya yang sesuai dengan kita dan pastikan selesa memakainya,” tuturnya kepada Stailo baru-baru ini.

Bercerita mengenai idea penghasilan Koleksi Adibusana Raya itu, Arun berkata, dia bersama rakan pereka mendapati ramai wanita sukakan gaya feminin.

FABRIK berkualiti tinggi dan mewah digunakan untuk rekaan fesyen ini.

Justeru, pihaknya mengambil keputusan untuk mengangkat tema tersebut dan diolah dengan trend semasa sebaik mungkin.
Lima belas rekaan tersebut terdiri daripada dres, kurung pendek, kurung labuh dan kebaya yang mana busana-busana itu tidak terhad untuk digayakan pada hari raya sahaja.

Busana itu juga boleh dipakai ke pelbagai acara termasuk sebagai persalinan untuk pertunangan serta majlis resepsi.

“Kami menggunakan perincian yang sangat halus dengan sulaman tangan, jahitan manik, renda dan taburan batu permata swarovski.

“Bagi material kain pula, kami memilih fabrik yang berkualiti dan mewah seperti sutera krep, satin dan sifon,” tuturnya yang sudah enam tahun bergelar pereka fesyen.

Koleksi Adibusana Raya yang didatangkan dengan rona kontra dan pastel itu sesuai dipakai oleh mereka berusia 25 hingga 45 tahun.

TEMA feminisme diolah dengan trend semasa menjadikan fesyen ini kelihatan lebih menarik.

Walaupun mengetengahkan gaya rekaan mewah, busana tersebut mampu dimiliki semua golongan dengan tawaran harga bermula RM1,800 hingga RM6,500.

Pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu dan ia akan disiapkan dalam tempoh dua minggu.

“Kami juga membuat perbincangan dengan pelanggan secara online termasuk mengajar cara mengambil ukuran yang betul.

“Koleksi ini bukan sahaja diminati oleh pelanggan di Malaysia, tetapi kami turut menerima tempahan dari Brunei dan Singapura,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN