ERA ini, rekaan pakaian kontemporari wanita adalah lebih mencabar, pelbagai dan membuatkan pemakainya lebih teruja.
Dahulu, imej wanita mungkin agak konservatif bagi mewakili golongan profesional dan korporat.
Sementara jean dan kemeja-T pula mewakili golongan muda dan remaja, tetapi kini sesiapa pun boleh memakai apa jua pakaian yang mereka inginkan.
Kita dapat lihat di sekeliling, wanita berpakaian dengan gaya individu tersendiri dan mereka mahukan gabungan pilihan pakaian yang dapat menyerlahkan lagi gaya, identiti serta keperibadian.
Pilihan pakaian yang ada di pasaran adalah cukup besar, tiada batasan dari segi bentuk, gaya dan warna.
Namun begitu, perlu diingat apabila menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan.
Sebagai contoh, blaus, skirt, gaun, sut, jaket, kemeja, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti serta berjenama hebat, namun adakah ia sesuai dipadankan antara satu sama lain?
Berpakaian penuh gaya dapat dicapai sekiranya kita tahu menata gaya secara keseluruhan. Berikut antara panduan bagi menyerlahkan identiti gaya wanita urban.
1. Pembentukan imej lebih sempurna
Pakaian wanita moden atau kontemporari adalah salah satu cara ekspresi komunikasi individualiti.
Perubahan gaya dan sikap pengguna wanita telah mendorong mereka untuk mengelak daripada gaya terlalu selaras ataupun mengikut peraturan.
Mematuhi manual undang-undang gaya secara total adalah sememangnya bukan kaedah untuk berfesyen.
Pakaian kontemporari wanita menyediakan mereka peluang untuk menyerahkan individualiti. Ia kini menjadi sesuatu yang paling berharga yang boleh dimiliki oleh semua orang.
Pembentukkan imej yang lebih sempurna dan penuh keterampilan perlu diberi perhatian dalam usaha untuk lebih berkeyakinan dan kelihatan hebat dipandang khalayak.
2.Pengaruh trend
Kini ramai wanita urban di Malaysia yang dahulunya ‘bersembunyi’ sudah mula keluar daripada kepompong pemakaian konservertif mereka selari dengan perkembangan trend kontemporari.
Pertambahan golongan profesional muda juga mempercepatkan lagi pengaruh trend ataupun fenomena tersebut.
Pengaruh iklan dalam media cetak atau elektronik yang menampilkan pakaian, kaca mata, kereta dan sebagainya yang selalunya menampilkan model-model wanita penuh berketerampilan sememangnya dapat memikat dan menarik perhatian mata yang melihat.

3.Eksperimentasi
Bagi wanita di luar sana, anda tidak perlu untuk menjadi keliru apabila memperkatakan tentang aliran fesyen terkini.
Ambil inisiatif untuk bereksperimentasi. Antaranya dengan memadankan pilihan rekaan pakaian dan aksesori yang selesa dipakai serta menarik perhatian umum.
4.Ilmu fesyen
Kini terdapat banyak majalah, blog dan laman web berteraskan gaya hidup dan fesyen boleh diakses dengan mudah.
Gunakan segala maklumat itu sebagai panduan untuk belajar mengenai trend, padanan pakaian dan aksesori.
Belajarlah mengenai padanan pakaian yang betul untuk semua majlis. Terdapat banyak artikel boleh mengkayakan minda mengenai fesyen.

5.Pilih gaya yang sesuai dengan diri sendiri
Apapun, meniru trend fesyen tidak semestinya perlu terlebih bergaya tanpa hala tujuan.
Pilihlah rekaan yang sesuai dengan budaya kita selagi tidak keterlaluan. Kita boleh mengambil inspirasi daripada gaya, rekaan atau apa sahaja yang dipaparkan dalam majalah, tetapi perlu disesuaikan dengan keadaan diri.
Potongan badan, ketinggian serta warna kulit perlu diambil kira dan yang paling penting bijak bereksperimentasi.
—————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
















