SEJAK ‘terkuburnya’ operasi pesawat supersonik Concorde pada tahun 2003, dunia tidak lagi memiliki sebarang pesawat komersial yang diistilahkan sebagai supersonik iaitu berkeupayaan terbang lebih pantas daripada kelajuan bunyi.
Namun, bayangan kebangkitan semula pesawat penumpang supersonik kian menjadi nyata baru-baru ini apabila syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United Airlines mengesahkan persetujuan membeli 15 buah pesawat supersonik baharu daripada firma Boom Technology (Boom) yang berpangkalan di Denver, Colorado, AS menjelang tahun 2029.
Pesawat supersonik dinamakan Overture itu akan memiliki kelajuan dua kali ganda lebih cepat berbanding pesawat-pesawat komersial biasa hari ini. Penerbangan dari London, Britain ke New York hanya akan mengambil masa tiga jam setengah berbanding tujuh jam menggunakan penerbangan pesawat komersial biasa pada hari ini. Penerbangan dari San Francisco ke Tokyo, Jepun pula akan dipendekkan menjadi cuma enam jam.
Mensyaratkan pembelian akan dilakukan sebaik sahaja pesawat tersebut berjaya memenuhi standard keselamatan, pengendalian dan penyelenggaraan, United Airlines turut merancang menempah 35 lagi pesawat Overture sebagai pilihan.
Ironinya, bukan sahaja pesawat tersebut belum wujud, bahkan prototaipnya pun belum diterbangkan.

Boom merancang menerbangkan pesawat prototaip Overture mereka pada akhir tahun ini dan membina pesawat supersonik pertamanya pada tahun 2023 serta menyasarkan penerbangan komersialnya pada tahun 2026.
Biarpun United Airlines enggan mendedahkan kosnya, namun pihak Boom Supersonic memberitahu perjanjian itu bernilai AS$3 bilion (RM12 bilion) atau AS$200 juta (RM822 juta) nilai bagi sebuah pesawat.
Overture yang dianggap sebagai supersonik generasi baharu dikatakan lebih mesra alam sekitar dengan 100 peratus menggunakan bahan bakar penerbangan lestari atau sustainable aviation fuel (SAF).
Ketua Pegawai Eksekutif United Airlines, Scott Kirby berkata, pihaknya terus mengorak langkah ke hadapan untuk membangunkan sebuah syarikat penerbangan yang lebih inovatif dan lestari berasaskan kemajuan teknologi masa kini yang mana ia boleh direalisasikan menerusi pesawat supersonik.
“Visi Boom untuk mewujudkan penerbangan komersial masa depan yang digabungkan dengan jaringan industri yang kuat akan membawa pengalaman penerbangan yang luar biasa,” kata Kirby dalam satu kenyataan akhbar.
Sedar tidak sedar, sudah hampir dua dekad dunia ketiadaan Concorde iaitu pesawat yang digunakan British Airways dan Air France untuk membawa penumpang merestas Atlantik dalam penerbangan serba mewah yang dimulakan pada tahun 1976.
Concorde yang menjadi kebanggaan syarikat penerbangan Britain dan Perancis itu telah memacu era baharu bagi penerbangan pantas jarak jauh suatu ketika dahulu. Rupanya begitu mudah dikenal pasti dengan rekaan sayap delta dan muncung kepala bak burungnya yang unik.
Mengimbas sejarah, Concorde merupakan pesawat supersonik yang dibangunkan secara usaha sama Britain dan Perancis pada tahun 1969. Pesawat itu terbang pertama kali pada September 1973 dan rasmi menjadi pesawat komersial pada Januari 1976.
Namun, disebabkan perbelanjaan operasinya yang tinggi telah menyebabkan Air France dan British Airways menamatkan penerbangan itu pada 2003, kira-kira tiga tahun selepas berlaku nahas dahsyat melibatkan Concorde Air France yang merempuh sebuah hotel sejurus berlepas dari Paris sehingga kesemua 113 penumpang dan kru terbunuh.
Penerbangan terakhirnya adalah dari Heathrow ke Bristol melibatkan pesawat Concorde British Airways pada 26 November 2003 dan kini pesawat-pesawat Concorde tersimpan di muzium-muzium penerbangan di Perancis dan AS.
Kini, setelah 18 tahun berlalu beberapa syarikat sedang mengusahakan kembali projek pesawat supersonik antaranya Boom yang akan muncul dengan pesawat Overture.
Lapor agensi berita AP, pesawat buatan Boom iaitu Overture mempunyai kelajuan yang perlahan sedikit daripada Concorde, namun masih lebih dua kali ganda cepat berbanding pesawat-pesawat komersial biasa.
Pada awalnya Overture dikatakan menyasarkan kelajuan 2.2 Mach atau 2,716 kilometer sejam (km/j), namun pengesahan terbaharu termasuk di laman rasmi Boom, kelajuan Overture cuma 1.7 Mach (2,099 km/j) sedangkan Concorde berkelajuan 2.0 Mach (2,469 km/j).
Bagaimanapun, disebabkan Overture lebih perlahan, pesawat itu dijangka memiliki lebih ciri kelestarian.
Dari segi spesifikasi pula, kedua-duanya mempunyai kepanjangan sekitar 60 meter dengan kapasiti penumpang Concorde mampu memuatkan 92 hingga 120 penumpang, manakala Overture dijangka hanya memuatkan antara 65 hingga 88 penumpang.

Overture mempunyai ruang dalaman yang lebih luas dengan kabinnya digambarkan Boom berkonfigurasi tempat duduk secara tunggal.
Dalam satu temu bual bersama CNN pada bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Boom, Blake Scholl menegaskan, syarikatnya bercita-cita menjadikan Overture sebagai pesawat komersial pada tahun 2026.
Scholl berkata, teknologi pesawat supersonik masa kini sudah banyak berubah berbanding sebelum ini.
“Teknologi supersonik dahulu adalah berasaskan teknologi pada tahun 1960-an sedangkan apa yang ditawarkan teknologi masa kini jauh berbeza. Pesawat kini telah beralih daripada aluminum ke serat karbon, penggunaan terowong angin untuk mengoptimumkan keupayaan pesawat serta penggunaan simulasi komputer.
“Kami telah sepenuhnya mengubah cara membina pesawat. Jadi ia dijangka akan menjadi lebih senyap dan lebih menjimatkan bahan api,” jelasnya.
Tambahnya, ini turut bermakna kos penerbangan supersonik generasi baharu ini akan turun dan dalam masa sama pihaknya sedang membangunkan sokongan bagi bahan bakar alternatif.
Tanpa menerangkan secara terperinci pengoperasian pesawat itu, Scholl cuma berkata, apa yang mereka akan lakukan adalah menyedut karbon dari atmosfera lalu mencairkannya dan kemudian memasukkannya semula ke dalam pesawat menjadi bahan bakar.
Sementara itu, para pejuang alam sekitar mengkritik penggunaan pesawat supersonik yang secara logiknya memerlukan lebih banyak bahan bakar berbanding pesawat biasa.
Pegawai Komersial Boom, Kathy Savitt mengakui untuk menerbangkan pesawat supersonik memerlukan lebih banyak bahan bakar, tetapi mereka akan memastikan pesawat Overture dioperasikan dengan pelepasan karbon sifar.
Menurutnya, pesawat berkelajuan tinggi memang diperlukan masyarakat hari ini yang banyak menggunakan pesawat ketika jaringan bisnes semakin meluas berdasarkan kajian Boom.
Tidak seperti Concorde, Boom menjangkakan Overture akan menguntungkan syarikat penerbangan walaupun tiket dijual pada harga sama dengan tambang kelas perniagaan pesawat biasa.
Mengenai permasalahan pencemaran bunyi, agensi berita BBC melaporkan, pergerakan yang lebih cepat daripada kelajuan bunyi menyebabkan ledakan sonik dapat didengari di daratan sebagai bunyi petir atau letupan yang kuat. Ini akan menyebabkan orang ramai terganggu oleh bunyi yang kuat itu.
Boom bagaimanapun yakin peningkatan teknologi reka bentuk pesawat masa kini akan membantu mengurangkan kesan dentuman sonik itu.
Seorang pakar penerbangan, Michel Merluzeau berpandangan, pesawat supersonik Overture merupakan idea menarik tetapi banyak persoalan masih belum terjawab.
“Kita perlu bersikap realistik tentang ini. Saya menganggap tahun 2035 atau 2040 sebagai waktu yang lebih munasabah untuk perkhidmatan komersial Overture,” katanya.
Berbicara mengenai kesangsian masyarakat tentang usaha Boom itu, Scholl berkata, ia mempunyai dua kemungkinan sama ada gagal atau akan mengubah dunia.
“Kami melihat Overture sebagai pengganti yang ditinggalkan Concorde. Perkara terpenting yang kami tekankan dalam membina pesawat ini ialah kelestarian ekonomi dan alam sekitar. Saya juga berharap syarikat penerbangan dapat menetapkan tambang pesawat supersonik ini pada harga sama dengan kelas perniagaan pesawat komersial yang lain,” katanya.
Tidak seperti Concorde pada tahun 1990-an yang mengenakan tambang sekitar AS$12,000 (RM49,000) untuk perjalanan pergi balik London ke New York yang nilai sekarangnya AS$20,000 (RM82,000), Scholl tidak mahu ia berlaku pada Overture.
Katanya, dengan nilai tinggi sebegitu, penumpang hanya akan menaiki pesawat supersonik ini sekali sahaja dalam seumur hidup.
“Kami sasarkan penumpang terbang dengan pesawat ini pada kadar AS$100 (RM400) bagi empat jam. Saya rasa lebih baik kami berfikir jauh ke depan jika ingin lama dalam industri ini,” ujarnya.














