KUALA PILAH – Dua buah kereta jenis Mercedes-Benz musnah terbakar kira-kira 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Taman Cemerlang di sini pagi tadi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Kuala Pilah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pukul 9.09 pagi.
Menurut Ketua Balainya, Eva Saifun Kamuni, sebaik tiba, pihaknya mendapati, kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan barang dan parkir kereta berbumbung.
“Turut terbakar dua buah kereta Mercedes-Benz. Stor dan parkir berbumbung ini dimiliki pemilik rumah iaitu seorang lelaki berusia 50-an,” katanya ketika dihubungi.
Eva berkata, dalam kebakaran itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih lagi dalam siasatan. – K! ONLINE














