fbpx
SEORANG petugas di kafe He & She Coffee di Universiti Malaya, Kuala Lumpur mesra melayani para pelanggan yang berkunjung ke kafe tersebut yang menawarkan pelbagai menu enak.

Kafe hipster dalam kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (Kolej 12), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, Prof. Dr. Nahrizul Adib Kadri perlu sentiasa mengadakan perbincangan bersama para mahasiswa.

Lelaki berusia 46 tahun itu sering berada dalam dilema setiap kali ingin memilih lokasi perjumpaan yang selesa dan bersesuaian bagi membincangkan hal-hal penting berkaitan kolej kediaman.

Masalah dihadapi pensyarah Fakulti Kejuruteraan, UM itu akhirnya telerai selepas dia berjaya meyakinkan pihak pengurusan UM untuk mewujudkan sebuah kafe hipster di Kolej 12 pada tahun lalu.

Kewujudan kafe dikenali sebagai He & She Coffee sejak Oktober tahun lalu itu membolehkan Nahrizul Adib melakukan perbincangan bersama mahasiswa dalam suasana lebih selesa sambil menghirup secangkir kopi panas.

“Sejak kewujudan kafe ini, semua sesi perbincangan dilakukan di sini. Suasana di sini lebih privasi dan selesa memandangkan lengkap berpendingin hawa dan tidak ramai pelajar.

“Sebelum ini, saya terpaksa melakukan perbincangan di kafeteria kolej yang sesak dengan mahasiswa yang sedang menikmati dan membeli makanan. Jadi sangat tidak selesa,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

He & She Coffee merupakan sebuah kafe berkonsepkan hipster milik penuh Bumiputera yang ditubuhkan sejak tahun 2019. Syarikat yang menyasarkan kampus sebagai lokasi perniagaan itu menawarkan aneka minuman dan sajian setaraf dengan jenama kafe terkemuka lain di pasaran.

KOPI premium dan aneka kek yang ditawarkan di He & She Coffee ditetapkan pada harga yang berpatutan untuk dinikmati penghuni kampus.

Kafe tersebut yang berkembang luas boleh didapati di banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Nahrizul Adib memaklumkan, kafe berkenaan sentiasa mendapat tempat di hati para mahasiswa UM terutamanya bagi mereka yang datang daripada golongan pertengahan ke atas.

“Saya sedar, ada antara mahasiswa ini yang sering menikmati sajian Barat dan minuman kopi premium. Dengan adanya kafe ini, ia memudahkan mereka menikmatinya tanpa perlu ke luar kampus,” ujarnya.

Sementara itu, Pemilik He & She Coffee, Zulkiflee Yusof, 47, berkata, idea membuka kafe dalam kampus tercetus selepas seorang kawan lama mempelawanya berniaga di sebuah lot kedai di Varsiti Mall, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Jelasnya, hasil pelawaan tersebut dia bersama dua lagi rakan kongsi berjaya membuka sebuah kafe berkonsepkan hipster di UUM sekitar tahun 2015.

Tegasnya, konsep mereka cukup mudah iaitu menjual pelbagai minuman kopi premium, aneka pastri serta kek pada harga lebih rendah berbanding kafe jenama terkemuka lain.

Ternyata, strategi berkenaan berjaya membuahkan hasil apabila kafe itu berjaya dibuka di beberapa buah kampus lain dalam tempoh kurang dua tahun.

“Kafe berkenaan juga telah berjaya membuka beberapa cawangan di luar kampus. Namun, idea itu tidak dipersetujui saya kerana ia sudah lari daripada konsep asal jenama kafe ini iaitu di dalam kampus.

“Disebabkan perbezaan pendapat tersebut, saya bertindak menarik diri daripada perkongsian berkenaan dan memilih bergerak solo dengan menubuhkan jenama He & She Coffee pada tahun 2019,” tegasnya.

Dengan modal permulaan sekitar RM100,000, Zulkiflee berjaya membuka kafe pertama He & She Coffee yang terletak di Menara Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor pada tahun 2019.

SUASANA santai di kafe He & She Coffee yang sering dikunjungi warga kampus.

Ternyata percaturan berani dibuat Zulkiflee itu tepat apabila jenama kafenya mendapat sambutan hebat daripada warga kampus meliputi mahasiswa, pensyarah serta para pelawat.

“Jenama He & She Coffee ini mengekalkan idea dan konsep asal jenama kafe diusahakan saya sebelum ini. Ia menawarkan perkhidmatan aneka minuman dan makanan serta konsep kafe urban kepada penghuni kampus dengan harga berpatutan,” katanya.

Sehingga kini, He & She Coffee mempunyai 10 cawangan di dalam kampus antaranya di UM, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Putra Malaysia dan UiTM Permatang Pauh.

Zukiflee yang merupakan bekas pekerja firma akaun itu juga berjaya membuka sebuah cawangan He & She di dalam bangunan Bank SME, Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) disebabkan keterhadan tempat.

Tegasnya, strategi membuka kafe di dalam kampus sangat baik untuk masa depan He & She Coffee memandangkan para pelajarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga dan lokaliti.

Dia menjelaskan, ia secara tidak langsung telah mempromosikan jenama kafenya bukan sahaja kepada para penuntut tempatan, malah kepada mahasiswa dari seberang laut.

“Kampus ini tempat terbaik untuk memulakan perniagaan kerana ia secara tidak langsung mempromosikan jenama kami memandangkan pelanggan di sini berasal dari pelbagai latar belakang dan ceruk dunia,” ujarnya.

KERANA keterbatasan ruang, kafe He & She Coffee di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terpaksa dibina di bangunan bersebelahan.

Setelah berjaya meluaskan jenama He & She Coffee di kampus-kampus barulah dirinya mengorak langkah dengan mencuba pasaran baharu di lokasi awam yang lain iaitu hospital dengan membuka cawangan di Hospital KPJ Tawakkal Kuala Lumpur pada awal tahun ini.

“Pembukaan cawangan di dalam hospital itu dibuat selepas memikirkan pasarannya sangat baik serta tiada persaingan. Kini, saya merancang membuka lebih banyak cawangan di hospital seluruh negara,” ujarnya.

Menariknya, hampir 80 peratus cawangan He & She Coffee dibuka hasil kerjasama dengan usahawan tempatan yang mempunyai minat terhadap kafe menerusi konsep prafrancais.

“Saya hanya memilih usahawan yang komited dan bersedia menerima syarat-syarat ditetapkan kami. Ini bagi memastikan aspek kualiti minuman dan makanan yang disajikan kepada pelanggan sentiasa terbaik,” ujarnya.

Zukiflee turut memaklumkan, pihaknya berharap dapat membuka sembilan lagi cawangan baharu menjelang akhir tahun ini dengan tujuh daripadanya di dalam kampus dan dua di hospital.

Sementara itu, Pembangunan Bisnes He & She Coffee, Muhammad Taqiuddin Abdul Rahim memberitahu, lebih daripada 100 jenis pilihan minuman ditawarkan kepada pelanggan.

Jelasnya, signatur minuman di kafe tersebut sudah pastilah aneka kopi yang dihasilkan daripada biji kopi premium oleh barista-barista He & She Coffee yang terlatih.

“Antara minuman kopi popular dan laris di sini termasuklah cappuccino, caffe latte, espresso, americano, mocha, white mocha, flavoured mocha serta flavoured caffe latte.

“Kami juga menawarkan minuman tanpa kafein seperti coklat Belgium, flavoured chocolate, vanila, matcha green tea, teh lemon, teh dan fizzy mojito,” ujarnya.

Minuman-minuman ini berharga kurang RM10 secawan atau seunit.

Mengulas mengenai makanan, pemuda berusia 29 tahun itu memaklumkan, setiap kafe menawarkan lebih 50 sajian popular Barat termasuk aneka pastri dan kek.

Ujarnya, semua makanan berkonsepkan sedia dimakan dan makanan di kafe ini boleh diperoleh sepanjang masa.

“Antara hidangan popular ialah aneka spageti seperti bolognese, aglio olio, carbonara dan sup cendawan. Kami juga menawarkan pelbagai kek dan pastri seperti kek keju, red velvet dan sebagainya.

“Bagi memenuhi selera masyarakat tempatan, kami turut tampil dengan beberapa menu popular berasaskan nasi seperti nasi lemak, nasi ayam, nasi ayam kunyit dan nasi kambing mandi,” ujarnya lagi.

Tambahnya, He & She Coffee tidak hanya menawarkan pengalaman gastronomi, malah konsep kafe yang lebih segar menerusi susun atur perabot termasuk penggunaan kerusi penumpang kapal terbang memberi pengalaman baharu kepada pelanggan.

“Kafe kami menjadi pilihan mahasiswa dan pensyarah untuk melakukan perbincangan atau bersantai. Biasanya, para pelajar mengunjunginya pada sebelah malam kerana sibuk dengan kelas ketika siang.

“Setiap kafe mampu memuatkan seramai 50 orang pada satu masa. Sekiranya tempat duduk penuh, mereka boleh membawa pulang makanan atau menempah secara online,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN