KOTA BHARU – Di sebalik wajah tenang dan senyum girang yang ditunjukkan, tiada siapa menyangka di dalam tubuh Mohd. Noor Yaacob, 86, sebenarnya ‘bersemadi’ dua butir peluru sejak 56 tahun lalu.
Mohd. Noor yang pernah berkhidmat sebagai tentera British sebelum menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1958 berkata, peluru itu tidak pernah dikeluarkan kerana bimbang akan memberi kesan sampingan kepada kesihatannya.
Bagaimanapun, dia yang bersara pada 1985 dengan pangkat akhir sebagai Pegawai Waran II tetap berbangga kerana telah berkorban nyawa demi mempertahankan negara.
“Peluru ini tertanam sejak tahun 1965 ketika pasukan kami diserang hendap oleh komunis di Balai Polis Serian, Sarawak.
“Ketika itu, saya bersama tujuh anggota tentera sedang berkawal di sekitar balai sebelum sekumpulan komunis melepaskan tembakan ke arah kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pasir, Ketereh di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, serangan itu menyebabkan beberapa das tembakan terkena pada bahagian belakang badan dan sikunya.
“Saya langsung tidak merasakan apa-apa, sehinggalah selepas saya membuka pakaian.
“Ketika itu, saya nampak ada kesan tembakan pada belakang badan dan siku,” jelasnya.
Tambahnya, peluru yang terkena di bahagian belakang telah dikeluarkan oleh doktor, namun dua butir lagi peluru yang berada di bawah siku kirinya tidak dapat dikeluarkan.
“Doktor beritahu sangat sukar untuk keluarkan peluru itu dan saya buat keputusan untuk biarkan ia kekal dalam badan.
“Walaupun sudah 56 tahun berlalu, dua butir peluru tersebut tidak memberi sebarang kesan sampingan kepada kesihatan saya. Ia seolah-olah sudah tertanam dalam badan,” katanya.
Jelas Mohd. Noor, kewujudan peluru di dalam badan adalah bukti kesanggupannya untuk bergadai nyawa demi negara.

ZABARUDDIN pernah terkena tujuh das tembakan dengan satu daripadanya masih tertanam di tulang belakangnya. – AMIR KHALID
Berkongsi pengalaman sama, Staf Sarjan (B) Zabaruddin Harun yang pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam ATM mengakui, masih ada peluru yang tertanam di dalam tubuhnya sejak 22 tahun lalu.
Katanya, situasi itu dialami dalam pertempuran menentang komunis di Sibu, Sarawak pada 10 Disember 1970 yang menyebabkannya terkena tujuh das tembakan.
“Pada mulanya, saya tidak menyedari telah ditembak, namun semakin lama badan semakin lemah. Saya tanggalkan tali pinggang kerana menyangka badan terlalu basah dengan peluh.
“Rupa-rupanya ia bukan peluh, sebaliknya darah bertakung yang membuak-buak keluar akibat luka tembakan. Kira-kira tujuh das tembakan hinggap di tubuh saya, syukur nyawa ini masih panjang,” katanya ketika ditemui di Bandar Seri Putera, Bangi, Selangor.
Zabaruddin yang merupakan bekas anggota Kompeni Alpha Batalion Pertama RAMD berkata, tiga daripada tujuh butir peluru yang dilepaskan musuh menembusi tubuhnya, manakala tiga lagi dikeluarkan menerusi pembedahan.
Katanya, sebutir lagi tidak dapat dikeluarkan kerana ia mendatangkan risiko kepada dirinya.
“Jika peluru di celah-celah tulang belakang ini dikeluarkan, berkemungkinan besar saya akan lumpuh,” katanya.
Menurutnya, peluru itu terletak di celah-celah tulang belakangnya dan berada begitu hampir dengan saraf, menyebabkan doktor tidak dapat melakukan pembedahan.
“Saya menerima 137 jahitan akibat pembedahan tersebut, doktor yang melakukan pembedahan menyatakan agar jangan sesekali peluru tersebut dikeluarkan kerana risikonya adalah kemungkinan saya akan lumpuh hingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Dalam pada itu, anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Sarjan Norihan Tari, 39, pula berkata, dua butir peluru yang menembusi tulang belakang pada bahagian pinggulnya masih kekal sehingga ke hari ini.
Jelasnya, dua butir peluru itu adalah tinggalan musuh dalam kejadian pada 24 November tahun lalu yang menyaksikan rakannya, mendiang Sarjan Baharuddin, 54, maut dalam serang hendap penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.
“Kesan pembedahan akibat kecederaan masih ada di mana saya cepat penat bila berjalan. Saya akui diri tidak lagi secergas dahulu, tidak boleh berlari atau melakukan senanam-senaman keras.
“Doktor juga nasihatkan agar tidak buat kerja-kerja berat dan masih perlu menjaga kesihatan diri,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, dia masih mendapat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dan akan menjalani pemeriksaan pada Jun ini untuk melihat kedudukan dua butir peluru yang masih ada pada tulang belakang.
“Doktor beritahu, sekiranya kedudukan peluru ini tidak berubah, ia baik tetapi jika berubah, maka doktor akan tentukan apa langkah seterusnya, perlu dibedah atau tidak,” jelasnya.














