KLANG – Enam lelaki termasuk remaja diburu selepas disyaki terlibat dalam 17 kes pecah sekolah di tujuh buah daerah di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kegiatan jenayah enam remaja itu dipercayai bermula sejak Disember tahun lalu sehingga kini.
Katanya, lokasi jenayah pecah adalah Klang Selatan melibatkan lima buah sekolah, Shah Alam (4) manakala Klang Utara, Petaling Jaya dan Kuala Kubu Bharu masing-masing melibatkan dua buah sekolah.
Sementara Subang Jaya dan Kuala Lumpur adalah dengan sebuah sekolah.
“Tiga suspek telah dikenal pasti dengan berusia 15 hingga 18 tahun manakala tiga lagi suspek hanya dikenali sebagai Faris, Azri dan Vicky.
“Sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau kepada Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau ke balai-balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Shamsul Amar, pihaknya bersama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak pada 30 April lalu telah berjaya menahan seramai lima saspek lelaki berusia 15 hingga 16 tahun.
Turut dirampas lapan buah telefon bimbit dengan empat daripadanya adalah kepunyaan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Klang.
Ujar beliau, kesemua suspek akan ditangkap semula pada hari ini selepas tempoh reman tamat hari bersabit kes pecah sekolah lain di daerah ini.
“Penangkapan suspek ini susulan laporan daripada Penolong Kanan sebuah SMK di Pelabuhan Klang yang mendapati pintu pejabat telah diumpil dalam kejadian pukul 7.15 pagi pada 21 April lalu.
“Pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh unit laptop dan 11 buah telefon bimbit bersama wang kira-kira RM2,000 yang kesemua merupakan milik barang sekolah itu hilang,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -K!ONLINE














