Oleh MOHD. AZLI ADLAN, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Lebih 10,000 nelayan di Pahang dan Terengganu terus dibelenggu masalah muara cetek yang memaksa mereka melabuhkan bot pada jarak 50 meter dari persisir pantai hingga ada yang mati ketika cuba berenang untuk pulang segera ke jeti.
Lebih memenatkan apabila kebanyakan nelayan perlu menunggu lebih lima jam di tengah laut dalam keadaan panas terik atau hujan sehingga air surut sebelum boleh berenang.
Masalah itu didakwa telah berlarutan lebih 30 tahun lalu.
Ia berlaku kepada lebih 600 nelayan terutama di Sungai Ular, Sungai Balok dan Sungai Cherating kerana kebanyakan bot tidak boleh sampai ke muara kerana air yang cetek.
Nelayan Kampung Sungai Ular di sini sudah bosan dengan masalah tersebut kerana bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah terpaksa pula mengangkut hasil laut naik ke darat.
Kebimbangan itu ada asasnya kerana pada awal bulan lalu seorang nelayan, Mohd. Shahrudin Rameli, 25, ditemui mati lemas ketika cuba berenang ke pantai.
Seorang nelayan, Rusmina Mahusain, 62, berkata, masalah muara cetek seolah-olah tiada penyelesaian walaupun telah diajukan kepada pihak berkuasa.
“Setiap kali air surut, bot tidak dapat melalui muara kerana air terlalu cetek jadi nelayan yang pulang dari laut tidak dapat masuk ke jeti dan terpaksa melabuhkan bot di luar.
“Ada nelayan yang terpaksa bermalam di dalam bot kerana bimbang bot tersadai di pantai jika air surut,” luahnya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi nelayan, Rosmadi Idin, 37, berkata, nelayan mengambil inisiatif menggunakan sampan kecil digelar jongkong.
“Nelayan perlu mengambil jongkong terlebih dahulu sebelum melabuhkan bot untuk pulang ke pantai, namun setakat ini hanya ada tiga jongkong.
“Jongkong hanya mengelak nelayan berenang tetapi tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, sebahagian besar daripada 14 muara sungai cetek terus menjadi ‘duri dalam daging’ kepada nelayan.
Sejak 2017, seramai enam nelayan dilaporkan lemas ekoran apabila bot yang mereka naiki karam di muara.
Tiga daripada mangsa masih belum ditemui sehingga hari ini.
Antara muara sungai yang terjejas ialah Sungai Merang, Setiu; Sungai Merchang, Marang, Sungai Paka, Dungun dan Sungai Kertih, Kemaman.
Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamed berkata, selain membahayakan nyawa masalah itu mengakibatkan nelayan kerugian ribuan ringgit kerana perlu membaiki bot rosak.
“Bot akan tersadai di muka kuala sungai berjam-jam sebelum boleh masuk ke pengkalan apabila air pasang,” katanya.
Katanya, masalah itu menyebabkan ramai nelayan enggan turun ke laut hingga menjejaskan pendapatan dan hasil ikan menjunam setiap tahun.
“Sebagai contoh, Pelabuhan Chendering hanya menaikkan 1,334 tan metrik berbanding 13,682 tan metrik pada 2013.
“Bukan itu sahaja, nelayan berdepan dengan pencerobohan nelayan Vietnam dan musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andasura Rabu berkata, kos untuk mendalamkan sungai ini terlalu tinggi.
“Syarikat konsesi pun tidak mahu ambil pasir,” katanya.
‘Jangan sampai tragedi berulang’
KUANTAN – Seorang nelayan berharap tragedi ke atas adiknya yang lemas ketika cuba berenang ke tepi Pantai Sungai Ular di sini dapat membuka mata pihak berkuasa untuk menangani masalah muara cetek bagi mengelakkan ia daripada berulang.
Mohd. Rozli Ramali, 40, berkata, adiknya, Mohd. Shahrudin ditemui lemas pada 1 April lalu ketika cuba berenang sejauh 50 meter ke pantai selepas melabuhkan bot di tengah laut.
Katanya, mayat adiknya ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian keesokan harinya.
Mohd. Rozli yang juga Ketua Komuniti Nelayan Kampung Seberang Sungai Ular di sini berkata, itulah risiko yang terpaksa nelayan di sini hadapi sejak sekian lama.
“Saya harap kejadian yang menimpa adik saya dapat membuka mata pihak berkuasa. Masalah ini sudah disuarakan nelayan generasi pertama lagi, namun sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian,” katanya.
Tambahnya, kira-kira 300 nelayan di Kampung Sungai Ular dan Seberang Sungai Ular di sini pada masa ini yang kebanyakannya adalah generasi kedua.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Sungai Ular, Shamsul Azlin Abdul Wahid berkata, isu terbabit telah diajukan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini.
“Untuk mengatasi masalah kuala cetek ini, tidak memadai hanya dengan mendalamkan sungai tetapi perlu dibina benteng pemecah ombak bagi mengelak masalah sama berulang. Tambahan pula jeti di sini menjadi tumpuan pelancong untuk ke Pulau Ular,” katanya.
Sementara itu, di Rompin, nelayan memaklumkan Kuala Pontian yang dahulunya boleh dimasuki kapal besar termasuk jongkong bijih timah kini telah berubah wajah.
Sungai yang besar di situ hanya dipenuhi pasir dan muka kuala kelihatan dari jauh dan hampir bersambung antara dua seberang.
Seorang nelayan, Mohd. Yazid Abdullah, 78, berkata, keadaan laluan ke kuala berkenaan semakin cetek sehingga boleh berjalan kaki ke seberang jika air surut.
“Dahulu Kapal Sri Terengganu yang besar itu boleh masuk, namun kini tidak lagi. Keadaan kini menyaksikan kawasan jeti semakin terhakis, manakala kawasan di seberang sungai dan muka kuala ditimbuni pasir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mustafa Omar, 63, berkata, keadaan muka kuala yang cetek sememangnya menyukarkan nelayan untuk keluar masuk ke jeti.
“Pada masa ini bot besar tidak boleh masuk hanya bot gentian kaca sahaja itu pun sering tersangkut dan adakalanya perlu turun dan menolak bot,” katanya.
Sungai cetek beri impak negatif
KUALA TERENGGANU – Muara sungai cetek bukan sahaja memberi kesukaran kepada nelayan, malah memberi impak negatif kepada alam sekitar.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, kecetekan muara sungai merupakan salah satu faktor berlakunya hakisan pantai yang serius di Terengganu.
Beliau berkata, muka kuala sungai menjadi cetek disebabkan mendapan pasir di kawasan tersebut lalu membentuk beting.
“Mendapan pasir di muara sungai berlaku disebabkan pengaliran air dari hulu tidak mengalir secara semulajadi.
“Sedimen (pasir) mudah terperangkap disebabkan penolakan oleh air dari laut dan juga ombak yang kuat,” katanya.

Tambahnya, beting pasir akan memperlahankan pergerakan air sungai daripada memasuki laut dan keadaan semakin kritikal pada musim tengkujuh.
Menurut Effi Helmy, antara solusi terbaik mengatasi masalah muara sungai cetek ialah memindahkan pasir tersebut ke kawasan pantai yang terjejas dengan hakisan, namun memerlukan belanja besar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, antara kaedah yang boleh dilakukan ialah dengan menyedut pasir dan membuat tebatan pemecah ombak.
Katanya, pada masa ini proses reka bentuk bagi memulihara Sungai Kuantan yang bernilai RM80 juta sedang giat dilaksanakan selepas proses mendalamkan Sungai Pahang telah siap. -K! ONLINE
















