PETALING JAYA – Tindakan empat lelaki menawarkan wang sogokan sebanyak RM30,000 kepada polis bagi membebaskan rakan mereka yang ditahan dalam serbuan perjudian mengundang padah apabila ditahan, semalam.
Serbuan yang dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sekitar pukul 3 pagi di sebuah apartment di Jalan Perak, Kuala Lumpur telah menahan lapan individu yang terlibat dalam aktiviti judi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka yang ditahan terdiri dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia 27 hingga 32 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas 108 daun terup, tiga keping catitan angka perjudian, kad akses, kad sim dan wang tunai berjumlah RM1,213.
“Ketika serbuan sedang dilakukan, polis didatangi empat lelaki berusia 25 hingga 39 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan suspek di mana mereka ingin menawarkan wang RM30,000 bagi membebaskan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan JSJ IPD Dang Wangi menolak tawaran berkenaan dan memberi amaran supaya tidak menggangu tugasan serbuan.
“Bagaimanapun keempat-empat suspek terus menawarkan wang berkenaan menyebabkan polis menahan kesemua mereka termasuk merampas wang tersebut.
“Siasatan kes rasuah akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, polis turut menyerbu dua unit apartment lain pukul 4 pagi dan menahan empat lelaki warga China berusia 26 hingga 27 tahun.
“Turut dirampas 10 telefon bimbit, empat kad sim dan wang tunai RM3,311. Semua 12 orang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – K! ONLINE














