KOTA BHARU – Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dan syabu daripada bekalan mereka terlepas kepada 1.7 juta penagih di ibu negara, Johor dan Indonesia dalam dua serbuan berasingan pada minggu ini.
Dalam dua serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah telah berjaya merampas dadah jenis ganja serta syabu bernilai lebih RM4.58 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan pertama dijalankan di dua buah rumah di sini kira-kira pukul 8 malam Selasa lalu dan berjaya menahan empat suspek termasuk dua wanita berusia 31 hingga 50 tahun
Katanya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 393 kilogram yang dianggarkan bernilai RM982,500 selepas menjalankan risikan selama lebih sebulan yang lalu.
“Siasatan mendapati, semua bekalan ganja itu diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar negeri ini. Dadah itu kemudiannya akan dibawa ke Johor sebelum ia diseludup semula untuk jualan di pasaran Indonesia.
“Kesemua suspek yang ditangkap dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah-dadah itu dari negeri ini ke Johor. Jika bekalan ganja ini terlepas ke pasaran, ia mampu dijual kepada seramai 786,000 orang penagih dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Menurut Razarudin, polis sedang mengesan dalang disebalik sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu itu.
Ujarnya, dalam serbuan kedua, Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah telah berjaya menggagalkan cubaan untuk mengedar dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta di sebuah rumah di Tanah Merah semalam.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 100 kilogram syabu selain menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 39 tahun.
“Kedua-dua suspek juga dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah yang diseludup dari negara jiran itu sebelum ia diedarkan di ibu negara.
“Kita mendapati bahawa, jika bekalan dadah ini terlepas di pasaran, ia mampu dijual kepada satu juta penagih. Keadaan ini amat menggusarkan polis dan kita kini sedang giat untuk menangkap sindiket yang terlibat dengan pengedaran dadah berskala besar,” katanya.
Menurut Razarudin, empat suspek dalam serbuan pertama direman selama seminggu bermula 20 April lalu dan dua suspek di Tanah Merah pula direman dalam tempoh yang sama bermula hari ini.
Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE