SEREMBAN – Selepas 68 hari berdepan kekosongan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Negeri Sembilan kini memasuki fasa baharu apabila enam Exco mengangkat sumpah jawatan kelmarin.
Pelantikan itu bukan sekadar melengkapkan struktur pentadbiran negeri, sebaliknya menjadi titik penting dalam usaha memulihkan kestabilan politik dan mengembalikan keyakinan terhadap kerajaan negeri yang sebelum ini berdepan kemelut berpanjangan.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, pembentukan semula barisan Exco memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk kembali memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, penyampaian perkhidmatan dan kebajikan rakyat.
Ujarnya, tempoh 68 hari tanpa barisan Exco merupakan satu tempoh ketidaktentuan yang panjang, namun pelantikan baharu itu belum boleh dianggap sebagai jaminan bahawa segala kemelut politik telah berakhir.
“Secara formal, kemelut mungkin sudah reda, tetapi dari sudut politik, belum tentu semuanya selesai. Krisis mungkin sudah ditutup, tetapi ujian kestabilan baru bermula,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau berkata, kedudukan Datuk Ismail Lasim yang kekal sebagai Menteri Besar menunjukkan beliau masih mempunyai ruang dan kepercayaan politik untuk meneruskan kepimpinan, namun cabaran lebih besar kini adalah menyatukan semula barisan politik yang pernah berpecah.
Katanya, pengurangan jumlah Exco daripada 10 kepada enam orang pula berpotensi mempercepat proses membuat keputusan, memperjelas tanggungjawab serta mengurangkan pertindihan portfolio, sekiranya pembahagian tugas dilakukan secara berkesan.
“Kerajaan yang lebih kecil tidak semestinya lebih cekap. Keberkesanannya bergantung kepada pembahagian portfolio, kemampuan setiap Exco menggalas tanggungjawab dan sejauh mana mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohamad Hafis Amat Simin berkata, pelantikan Exco baharu penting bagi mengembalikan mekanisme pembuatan keputusan secara kolektif dalam kerajaan negeri.
Beliau berkata, meskipun jentera perkhidmatan awam masih boleh beroperasi sepanjang tempoh kekosongan itu, ketiadaan kepimpinan politik pada peringkat portfolio berpotensi menyebabkan kelewatan keputusan strategik serta menjejaskan penyelarasan antara agensi kerajaan.
Ujarnya, kesinambungan kepimpinan Ismail juga membuka ruang kepada usaha konsolidasi kerajaan negeri, namun beliau perlu mengimbangi sokongan politik, hubungan institusi dan kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan pentadbiran.














