PONTIAN – Perubahan cuaca yang tidak menentu, terutamanya hujan berselang-seli dengan cuaca panas, dikenal pasti sebagai punca utama yang mempercepatkan kitaran pembiakan nyamuk aedes sehingga kes demam denggi direkodkan meningkat di beberapa kawasan di daerah ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, bagi membendung penularan wabak ini dengan lebih berkesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian meminta kerjasama orang ramai mengambil tahu dan peka mengenai ancaman peyakit bawahan nyamuk aedes.
Menurut beliau, selain usaha pihak berkuasa, penglibatan komuniti setempat amat ditagih dalam memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk termasuk di dalam dan luar rumah masing-masing.
“Penduduk disarankan untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi memeriksa dan membersihkan bekas-bekas yang boleh menakung air di dalam serta luar kediaman.
“Kerjasama masyarakat merupakan benteng utama dalam memerangi denggi. Tanpa tempat pembiakan, tiada nyamuk aedes dan tanpa Aedes, tiada denggi,” katanya ketika merasmikan program gotong royong di Taman Megah, di sini semalam.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengikut rekod daripada PKD Pontian terdapat tiga kes demam denggi di Taman Megah ini yang memerlukan usaha pencegahan daripada penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE













