KUALA SELANGOR – Bencana banjir yang melanda daerah ini sejak tiga minggu lalu menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk perkakasan elektrik.
Walaupun air mulai surut dan cuaca cerah, terdapat sebahagian mangsa tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing disebabkan kejadian banjir termenung
Seorang mangsa banjir, Muhammad Rashid Muhammad Idham, 43, berkata, dia terpaksa menggantikan perabot dan perkakasan elektrik seperti peti sejuk yang rosak selepas terendam di dalam air selama minggu.
“Harga peti sejuk terpakai sudah mencecah RM500 sebuah, itu tidak termasuk kos penghantaran yang perlu dibayar kepada pihak kedai. Selain itu, saya juga perlu membeli katil baharu.
“Setakat ini saya bercadang untuk membeli perabot terpakai bagi menjimatkan kos menggunakan wang bantuan sebanyak RM2,500 yang disalurkan kerajaan kepada ketua isi rumah yang terjejas dalam bencana,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bukit Hijau, di sini, baru-baru ini.

Lelaki itu berkata, antara kerosakan lain yang ditanggung adalah pintu rumah yang rosak teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini dan perlu diganti.
Oleh itu, Muhammad Rashid merayu kerajaan supaya meningkatkan jumlah bantuan kepada RM10,000 memandangkan penduduk di daerah ini terpaksa berdepan bencana tersebut hampir setiap tahun.
Seorang lagi mangsa, Abdul Radzi Abdul Latif, 33, memaklumkan, dia kehilangan sumber pendapatan sehingga RM3,000 sepanjang bencana tersebut kerana tidak dapat melakukan kerja-kerja pertukangan dan membersihkan kawasan ladang kelapa sawit.
“Tanah gambut mengambil masa berminggu-minggu untuk kering. Dalam situasi ini, saya terpaksa berjimat cermat. Sakit memang sakit, tetapi terpaksa hadap,” katanya yang menetap di Kampung Bukit Hijau.
Tinjauan Kosmo! di sekitar kawasan kampung berkenaan mendapati banjir belum surut sepenuhnya selain terdapat kediaman penduduk yang terletak di kawasan rendah masih digenangi air. – KOSMO! ONLINE














