‘Minggu kedua Disember’ – Syed Saddiq ajak Bella ‘honeymoon’ hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli politik yang juga suami kepada pelakon Bella Astillah, Syed Saddiq berjanji akan membawa isterinya berbulan madu sebaik sahaja selesai melunaskan tanggungjawabnya di Parlimen bagi tahun ini.

Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, berkata, membahagiakan permaisuri hatinya merupakan antara tanggungjawab sebagai seorang suami, namun urusan rakyat tetap menjadi keutamaan yang perlu didahulukan.

“Memang ada berbincang mengenai bulan madu, tetapi sekarang musim persidangan Parlimen. Hari ini pun saya perlu ke Parlimen selepas waktu rehat tengah hari.

“Tanggungjawab hakiki perlu dilunaskan terlebih dahulu. Selepas persidangan Parlimen berakhir pada minggu kedua Disember, barulah kita boleh berbincang mengenai bulan madu,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran produk baharu Cuura di Open House, Jalan Stanor, di sini.

Terdahulu, media melaporkan Bella, 32, tidak mendesak suaminya untuk membawanya berbulan madu, sebaliknya memilih untuk memberikan ruang kepada Syed Saddiq menyelesaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Pelantun lagu Bersama Aku Setia Selamanya itu juga mahu memberikan tumpuan kepada proses menyesuaikan diri di kediaman baharu mereka.

Selepas lebih sebulan mendirikan rumah tangga, Bella mengakui masih dalam fasa menyesuaikan diri dan saling mengenali kehidupan bersama suaminya.

Bella dan Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 sebelum bercerai pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

Dalam perkembangan lain, majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri pengasas Cuura, Sarah Shahnor dan jurucakap produk berkenaan, Elfira Loy.

Sarah berkata, pengalaman berdepan masalah kulit ekzema mendorongnya menubuhkan Cuura pada 2017 bagi memenuhi keperluan pengguna yang bukan sahaja mementingkan penjagaan luaran, malah kesihatan dalaman.

“Ramai pengguna di luar sana bukan sahaja mahu menjaga penampilan luaran, tetapi juga aura dalaman.

“Pengguna kami terdiri daripada mereka yang aktif melakukan aktiviti kecergasan seperti Hyrox dan menyertai larian maraton seperti YB Syed Saddiq.

“Atas sebab itu, kami melancarkan rangkaian Cuura Wellness yang merangkumi produk Mood: Boost, Mood: Reset dan Mood: Dream bagi membantu meningkatkan mood, menyegarkan tubuh serta mendapatkan tidur yang mencukupi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN