KOPI yang dikeluarkan oleh petani di Pergununang Arfak dieksport ke luar negara.

Tanaman kopi ubah nasib suku Arfak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Budaya kopi di Malaysia kini telah berkembang jauh melangkaui secawan minuman pada waktu pagi. Pengguna kini semakin ingin tahu tentang kisah di sebalik minuman mereka, misalnya cara penanaman biji kopi, landskap membentuk profil rasa, serta komuniti yang bergantung dengan hasil tuaiannya.

Peralihan itu mencerminkan trend global yang lebih luas. Pasaran kopi diunjurkan berkembang pada kadar 10.4 peratus di antara tahun 2025 hingga 2030.

Namun, sebahagian kisah kopi paling bermakna bermula di kawasan penanamannya yang berkait rapat dengan budaya, pemuliharaan alam dan komuniti.

Di kawasan tanah tinggi Papua Barat, Indonesia, kopi arabica dari Pergunungan Arfak muncul sebagai sumber kopi unik dengan naratif lebih mendalam.

Penanaman kopi di kawasan itu telah membantu memelihara hutan, memperkukuh punca pendapatan penduduk tempatan, serta mengekalkan keharmonian hubungan antara masyarakat dan alam semula jadi.

Terletak pada ketinggian sekitar 1,800 hingga 2,000 meter dari aras laut, kawasan Pergunungan Arfak menyediakan persekitaran ideal bagi penanaman kopi arabika.

Di situ, pokok kopi ditanam bersebelahan kebun isi rumah yang dikelilingi pelbagai tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil pertanian lain.

Bagaimanapun, selama bertahun-tahun, kopi tidak dipandang sebagai komoditi pertanian yang bernilai tinggi.

Jadi, kebanyakan keluarga hanya menanam beberapa batang pokok kopi untuk kegunaan sendiri, manakala sebahagian pokok kopi terbiar tanpa penjagaan atau ditebang kerana masyarakat setempat tidak menyedari potensi ekonominya.

“Sebelum tahun 2018, setiap petani hanya memiliki satu atau dua batang pokok kopi. Ada yang menanamnya, namun tidak tahu bagaimana untuk memajukannya.

“Malah, ada pokok yang ditebang kerana dianggap tidak bernilai,” ujar seorang pemuda tempatan yang terlibat dalam penanaman kopi, Barto Inden.

Keadaan mula berubah apabila komuniti setempat melihat kopi bukan sekadar sumber pendapatan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada pendekatan yang mampan dalam pengurusan tanah mereka.

Kepentingan memelihara landskap alam sekitar semakin mendesak, tatkala Pergunungan Arfak berdepan pelbagai tekanan ekologi seperti penerokaan tanah dan taburan hujan lebat, selain aktiviti di kawasan hulu yang mengancam sumber air untuk kegunaan penduduk.

SUKU Arfak yang terlibat dengan penanaman kopi di pergunungan arfak, papua barat, Indonesia.

Menerusi amalan tanaman selingan dan menghentikan pembakaran tanah, penanaman kopi membantu mengukuhkan struktur tanah, memelihara kawasan tadahan air serta menyokong ekosistem.

Transformasi kopi di Arfak semakin melonjak menerusi sokongan organisasi sosial, Bentara Papua yang menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat sejak tahun 2019.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan amalan tanaman sedia ada melalui latihan teknikal, penambahbaikan hasil pengeluaran serta pembukaan akses pasaran.

“Kami tidak membawa sistem baharu yang siap untuk diguna pakai. Kami belajar bersama-sama komuniti di kebun mereka.

“Dari situ, kami menilai potensi kopi ini agar bersesuaian dengan budaya setempat,” jelas Penyelaras Stesen Udohotma Bentara Papua, Demius Aud,.

Sementara itu, melalui Sekolah Kampung Merdesa (Sekam), golongan belia tempatan telah dilatih mengenai teknik penanaman kopi, pengurusan sumber asli dan kaedah pemprosesan yang betul.

Stesen Udohotma pula berperanan sebagai pusat pembelajaran dan pengeluaran bagi membolehkan para petani menambah baik amalan pertanian mereka.

Sokongan yang diberikan merangkumi pengurusan tapak semaian, pembuatan baja organik sehinggalah pemprosesan pascatuai.

Petani juga dilatih memanfaatkan bahan tempatan seperti baja kompos daripada sisa ternakan, daun gugur dan sisa dapur, di samping kaedah kawalan serangga perosak secara semula jadi dengan menggunakan tumbuhan tempatan.

Proses pascatuai turut diperkemas melalui langkah kawalan kualiti, termasuk pengasingan buah, penapaian, pembersihan dan pengeringan bagi menghasilkan kopi bermutu tinggi.

Hari ini, penanaman kopi Arfak melibatkan 37 kumpulan petani di tujuh daerah dengan keluasan kira-kira 35 hektar.

Berbeza dengan sistem perdagangan konvensional yang sering menyaksikan petani bergantung kepada orang tengah, kopi Arfak dibeli secara terus di lokasi pengeluaran.

Pendekatan itu membolehkan limpahan nilai ekonomi dinikmati secara lebih besar oleh komuniti setempat.

Kopi yang dipasarkan di bawah jenama Kopi Anggi itu ditawarkan dalam bentuk biji kopi hijau (green beans), biji kopi panggang (roasted beans), serta serbuk kopi.

Produk tersebut telah menembusi kafe-kafe terkemuka di Manokwari, selain turut menarik minat pembeli antarabangsa termasuk dari Poland, Jerman dan Belanda.

Meskipun permintaan terus melonjak, namun pihak pengeluar kekal memberi keutamaan terhadap pemeliharaan kualiti berbanding memperluas operasi secara terburu-buru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN