Onn Hafiz pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Johor terima 22 juta pelancong, sumbang RM17.83 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

​ISKANDAR PUTERI – Johor mencatatkan 22 juta kemasukan pelawat bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 7.5 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
​
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata prestasi memberangsangkan Tahun Melawat Johor 2026 itu direkodkan meskipun berdepan kekangan luar jangka seperti krisis di Asia Barat, kenaikan harga bahan api dan isu jerebu di rantau ASEAN.

“Bagi kategori pelancong bermalam pula, bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 merekodkan 4.7 juta pelancong menginap di Johor, terdiri daripada 3.3 juta pelancong domestik dan 1.4 juta pelancong antarabangsa. Mereka menyumbang anggaran RM17.83 bilion kepada ekonomi negeri.

“Secara keseluruhannya, perkembangan positif ini memberikan keyakinan kepada Kerajaan Negeri bahawa prestasi bagi Tahun Melawat Johor 2026 berada pada landasan yang tepat dengan mengambil kira musim kemuncak cuti persekolahan dan perayaan hujung tahun,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Syed Hussien Syed Abdullah (BN-Mahkota), Datuk Mohamad Najib Samuri (BN-Parit Yaani), Fauziah Misri (BN-Penawar), Mohd Youzaimi Yusof (BN-Tenggaroh), Ng Yak Howe (PH-Bentayan) dan J Kartiyaini (PH-Skudai) berhubung pelancongan di Johor.

Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri Johor berkata, persepsi negatif yang melabelkan bandar raya ini sebagai bosan juga berjaya diubah.

“Saya akui, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak tumpuan pembangunan produk pelancongan diberikan kepada daerah Johor Bahru. Ini kerana maklum balas yang saya terima ketika saya mula mengambil portfolio pelancongan, ramai rakyat yang mengatakan, ‘JB bosan’, tak ada benda nak buat,  tak ada tempat nak beriadah dengan keluarga’ dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN