PETALING JAYA – Pemergian Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr. A Samad Said hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, meskipun jasad seorang sasterawan telah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangan Allahyarham tidak akan sama sekali terpadam.
“Saya amat berdukacita menerima khabar pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad.
“Pemergian Pak Samad merupakan satu kehilangan besar buat dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, sepanjang hayat, Pak Samad telah mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera yang mana ia bukan sekadar melalui penulisan semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ia termasuk dengan merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa melalui mata seorang sasterawan.
“Karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi menjadi antara tulisan yang hingga kini menghiasi khazanah sastera negara.
“Di dalamnya tersimpan kisah manusia, kepayahan hidup, perjuangan dan realiti masyarakat yang akan tetap dibaca, dihayati dan dikenang oleh generasi demi generasi,” katanya.
Katanya, karya-karya Pak Samad harus terus dibaca dan menjadi sumber inspirasi sekali gus
membolehkan Pak Samad akan hidup dalam ingatan kita.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham.
“Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














