Keadaan Ayyash dilaporkan cedera parah selepas serangan monyet di rumahnya Kampung Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, kelmarin. Foto MEDIA SOSIAL.

Bayi digigit monyet: Kes Ayyash dirujuk kepada Perhilitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Kes serangan monyet liar terhadap seorang bayi lelaki, Ahmad Ayyash Adyan berusia lima bulan di Kampung Paya Jaras Tengah, di sini, kelmarin dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 11.44 malam hari sama.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.18 malam ketika ibu mangsa berada di dapur, manakala bayi berkenaan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu.

“Ibu mangsa terdengar jeritan sebelum mendapati seekor monyet berada berhampiran mangsa.

“Monyet tersebut dipercayai memasuki rumah melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri melalui tingkap berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, mangsa merupakan anak kedua pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.

“Bapa mangsa bekerja sebagai jurujual di kedai serbaneka manakala ibunya merupakan jurujual di sebuah kedai roti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hafiz berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) kepada Perhilitan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.

“Selain itu, penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini hendaklah dielakkan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Hari ini, Kosmo! Online melaporkan Ahmad Ayyash Adyan mengalami tujuh luka dalam pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet ketika sedang tidur di dalam buaian.

Ibu saudara mangsa, Nur Ilya Natasha Mohamad Farid, 20, ketika dihubungi Kosmo! memaklumkan ibu bayi berkenaan meraung dan menangis meminta bantuan jiran selepas mendapati anaknya berlumuran darah.

Dalam keadaan cemas, ibu mangsa membawa anaknya ke hospital dengan bantuan rakan suaminya yang menghantar mereka menaiki motosikal.

Nur Ilya Natasha turut memaklumkan doktor tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan berdepan risiko komplikasi serius termasuk kecacatan otak, perkembangan tidak normal atau kematian susulan kecederaan dialaminya.

Turut dilaporkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami tiga luka pada kaki kiri selepas diserang monyet di rumah keluarganya di Paya Jaras, sehari sebelum kejadian menimpa bayi berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN