Memiliki simpanan RM1,000 mungkin dianggap perkara kecil bagi sesetengah individu. - Gambar hiasan

Gaji rendah punca susah buat simpanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI simpanan RM1,000 mungkin dianggap perkara kecil bagi sesetengah individu, namun bagi sebahagian besar, jumlah itu bukan sesuatu yang mudah dikumpul ketika kos hidup semakin menghimpit.

Dalam keadaan harga barangan keperluan, sewa rumah dan komitmen keluarga terus meningkat, ramai terpaksa mengutamakan perbelanjaan harian sehingga tidak mempunyai lebihan pendapatan untuk disimpan.

Lebih membimbangkan, terdapat isi rumah yang hidup sekadar menunggu gaji, malah kerosakan kenderaan, kecemasan kesihatan atau kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba boleh menyebabkan kedudukan kewangan mereka terus tergugat.

Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada kegagalan rakyat membina tabungan berpunca daripada kelemahan mengurus kewangan atau hakikat bahawa pendapatan diterima tidak lagi seimbang dengan peningkatan kos hidup.

Baru-baru ini, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024. mendedahkan bahawa 61 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran menyediakan simpanan kecemasan RM1,000.

Angka itu bukan sekadar menggambarkan kelemahan budaya menabung, sebaliknya memberi petunjuk bahawa sebahagian besar masyarakat masih mempunyai daya tahan kewangan yang rendah.

Malah, tinjauan BNM menunjukkan kadar rakyat yang menghadapi kesukaran menyediakan RM1,000 meningkat daripada 47 peratus pada 2021 kepada 61 peratus pada 2024, sekali gus memperlihatkan kemerosotan kemampuan menghadapi kecemasan kewangan.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar gaji rendah dan tidak seiring dengan kos sara hidup menjadi antara faktor rakyat sukar menyediakan simpanan kecemasan.

“Bagi saya punca permasalahan kepada isu ini adalah mengenai tahap gaji yang masih rendah ditawarkan majikan, sehingga menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak mampu.

“Majikan mungkin boleh tawarkan gaji lebih tinggi atau individu berkenaan cuba mencari pekerjaan lain yang mampu memberikan gaji setimpal, bagi membolehkan mereka dapat menyimpan diterima setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, menjalani gaya hidup di luar kemampuan boleh menyebabkan seseorang terus berdepan masalah kewangan meskipun mempunyai pendapatan bulanan.

“Antara faktor yang menyumbang (kepada permasalahan ini) adalah rakyat Malaysia yang terlalu (banyak) berbelanja, selain menjalani gaya hidup di luar daripada kemampuan mereka.

“Sebagai contoh, ramai individu bergaji menengah rendah cuba bergaya seperti mereka yang bergaji menengah atas. Mereka berlumba-lumba untuk cuba (menampung) dengan gaya hidup terbabit yang akhirnya menyebabkan mereka langsung tiada simpanan,” ujarnya.

Hakikatnya, kedua-dua pandangan itu menunjukkan masalah simpanan perlu dilihat daripada dua sudut berbeza.

Bagi golongan berpendapatan rendah, menyimpan RM50 atau RM100 sebulan mungkin menjadi cabaran apabila sebahagian besar gaji sudah diperuntukkan untuk makanan, tempat tinggal, dan keperluan anak-anak.

Justeru, rakyat bukan tidak mahu menyimpan, tetapi ada yang terpaksa memilih antara mengisi tabung kecemasan dengan memastikan keperluan keluarga terus mencukupi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN