Gambar hiasan

Keselamatan siber perlu jadi keutamaan keselamatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Keselamatan siber tidak lagi boleh dianggap sekadar urusan teknologi maklumat (IT), sebaliknya perlu menjadi keutamaan keselamatan negara berikutan peningkatan ancaman kebocoran data, penipuan dalam talian dan pencerobohan sistem yang berpotensi menjejaskan kepentingan strategik serta kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.

Perkembangan teknologi digital yang semakin pesat termasuk kecerdasan buatan (AI), turut mengubah landskap ancaman berkenaan apabila penjenayah kini mempunyai lebih banyak ruang untuk memperdaya pengguna, mencuri maklumat dan mengeksploitasi kelemahan sistem komunikasi.

Dalam keadaan urusan pentadbiran, kewangan, perkhidmatan awam dan komunikasi harian semakin bergantung pada internet, sebarang kelemahan dalam perlindungan data bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kewangan kepada individu atau organisasi, malah turut membuka ruang kepada ancaman yang lebih besar terhadap keselamatan negara.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber (MCCA) Siraj Jalil, tahap kebimbangan masyarakat terhadap penipuan dan penggodaman menunjukkan kesedaran tentang ancaman siber semakin meningkat, namun keadaan itu belum semestinya disokong oleh perlindungan sistem yang mencukupi.

Beliau memetik laporan GSMA ASEAN Consumer Scam Report yang menunjukkan 96 peratus pengguna bimbang menjadi mangsa penipuan atau penggodaman, manakala 66 peratus telah mengubah tingkah laku harian bagi melindungi diri daripada ancaman berkenaan.

“Angka itu menunjukkan pengguna semakin menyedari risiko di ruang digital dan mengambil langkah berjaga-jaga, tetapi tanggungjawab melindungi mereka tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu individu.

“Pendekatan yang hanya menyalahkan mangsa kerana terpedaya dengan penipuan tidak memadai memandangkan ancaman siber kini semakin kompleks dan melibatkan pelbagai kelemahan, termasuk dalam sistem perlindungan data serta mekanisme pengesahan transaksi,” katanya kepada Bernama.

Siraj berkata dalam hal ini, kebimbangan yang berterusan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap komunikasi digital.

Beliau merujuk laporan sama yang menunjukkan 41 peratus pengguna mengabaikan panggilan tidak dikenali, manakala 56 peratus mengelak panggilan masuk.

“Keadaan ini menggambarkan bagaimana ancaman siber boleh melangkaui kerugian kewangan dan menjejaskan urusan harian, termasuk komunikasi rasmi antara rakyat dengan agensi kerajaan serta institusi kewangan.

“Apabila masyarakat semakin sukar mempercayai panggilan atau mesej yang diterima, saluran komunikasi yang sah juga boleh terjejas, sekali gus menyukarkan penyampaian maklumat penting kepada orang ramai,” katanya.

Siraj berkata, tanggapan umum sebelum ini bahawa keselamatan siber hanya melibatkan jurutera dan pakar IT perlu diubah kerana kelemahan manusia juga boleh menjadi pintu masuk kepada serangan yang mengancam keselamatan negara.

Menurut beliau, ancaman moden tidak semestinya memerlukan penjenayah menguasai kemahiran pengaturcaraan yang kompleks kerana mereka boleh mengeksploitasi kelemahan pengguna melalui penyamaran, manipulasi psikologi dan penipuan yang direka untuk kelihatan meyakinkan.

Beliau berkata, perkembangan AI generatif misalnya untuk menghasilkan pancingan data hiperperibadi, klon suara serta video manipulasi (deepfake), membolehkan penjenayah menghasilkan mesej penipuan yang lebih meyakinkan, meniru suara seseorang atau mencipta video palsu yang menyerupai individu sebenar.

“Keadaan ini menyukarkan orang ramai membezakan antara maklumat tulen dengan kandungan yang dimanipulasi, sekali gus meningkatkan risiko kecurian identiti, penipuan kewangan dan pencerobohan sistem,” katanya.

Tambah beliau, kelemahan seperti penggunaan kata laluan yang mudah diteka atau penyambungan kepada rangkaian yang tidak selamat, boleh membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengakses maklumat peribadi dan organisasi.

Menekankan ancaman seumpama itu perlu ditangani secara menyeluruh, Siraj berkata, maklumat yang terdedah boleh dieksploitasi untuk mengganggu perkhidmatan awam, menjejaskan kepentingan strategik atau memanipulasi masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan, sektor industri dan pengendali platform digital memainkan peranan masing-masing dalam membina ekosistem digital yang lebih selamat, termasuk memperkukuh perlindungan data, mengekang iklan penipuan serta meningkatkan keupayaan mengesan dan menyekat transaksi mencurigakan.

“Pada masa sama, masyarakat perlu dilengkapi pengetahuan praktikal untuk mengenal pasti tanda-tanda penipuan dan mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat sebelum bertindak, khususnya apabila melibatkan permintaan wang atau maklumat sulit, katanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga penyelidik Advanced Communication Research Unit (ACRU), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad berkata, keselamatan siber berkait rapat dengan kedaulatan negara kerana data dan maklumat kini menjadi sumber penting yang menyokong kegiatan ekonomi serta kehidupan masyarakat.

Beliau berkata, ancaman siber tidak lagi terbatas kepada usaha melindungi perkakasan komputer atau sistem dalaman sesebuah organisasi, sebaliknya turut melibatkan keselamatan komunikasi yang digunakan setiap hari untuk bekerja, berurus niaga dan berinteraksi.

Katanya, kebergantungan masyarakat pada internet bermakna gangguan terhadap sistem komunikasi digital boleh memberi kesan berantai kepada pelbagai urusan termasuk penyampaian perkhidmatan dan aktiviti ekonomi.

“Pada zaman sekarang, maklumat dan data merupakan satu komoditi, ibarat satu sumber asli, satu bahan yang menjadi sumber kepada penghasilan ekonomi lain.

“Apabila berlaku kebocoran data sensitif atau ketirisan maklumat kerajaan, perkara itu boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara, khususnya apabila maklumat berkaitan mereka yang sepatutnya dilindungi terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambah Mohd. Khairie, kesan itu tidak terhenti pada hubungan antara kerajaan dengan rakyat, malah boleh mempengaruhi persepsi pelabur dan pihak luar terhadap keupayaan negara melindungi maklumat serta memastikan keselamatan operasi organisasi.

Ujarnya, kelemahan perlindungan data di sesebuah institusi juga boleh menimbulkan kebimbangan bahawa organisasi lain turut berdepan risiko yang sama.
Oleh itu katanya, keupayaan sesebuah negara mempertahankan data dan sistem digitalnya semakin menjadi antara ukuran penting daya tahan negara dalam menghadapi ancaman moden, selain keupayaan pertahanan konvensional. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN