Md Razif ketika ditemui pada Majlis Apresiasi AADK Kedah yang dihadiri 250 pegawai dan anggota AADK, di sebuah hotel di Alor Setar, semalam.

Ketamin paling popular di sempadan Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pengambilan dadah jenis ketamin dilihat semakin popular dalam kalangan generasi muda berikutan kesannya yang mudah khayal.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Md Razif Wan berkata, rekod tertinggi dalam kalangan individu ditahan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dikesan mengambil bahan terlarang tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan statistik, sepanjang tempoh tersebut, seramai 235 individu ditahan terdiri daripada 208 lelaki dan 27 wanita.

“Daripada jumlah itu, ketamin merekodkan 114 individu, diikuti methamphetamine (45), MDMA (40), tetrahydrocannabinol (THC) (35) dan opiat (seorang).

“Golongan berusia 19 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 225 orang, sembilan individu berusia 40 hingga 50 tahun dan seorang tangkapan berusia bawah 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi AADK Kedah yang dihadiri 250 pegawai dan anggota AADK, di sebuah hotel di sini, semalam.

Beliau berkata, kebanyakan mereka ditahan di sempadan Bukit Kayu Hitam dan antara alasan yang kerap diberikan adalah sekadar mahu mencuba dan hanya mahu berhibur.

“Biasanya kes ini paling banyak dikesan ketika cuti persekolahan dan cuti perayaan. Kebanyakan mereka berusia 18 hingga 30 tahun dan turut membabitkan pelajar sekolah, ” katanya.

Statistik AADK turut menunjukkan seramai 106 individu positif berdasarkan keputusan patologi, 44 negatif manakala 85 lagi masih belum menerima keputusan

Secara keseluruhannya, sebanyak 22 operasi dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut termasuk enam operasi bersepadu dan 16 operasi sekatan jalan raya (SJR) harian.

Dalam pada itu, Md Razif turut menasihatkan kepada orang ramai bahawa pengambilan barang terlarang seperti ‘piu piu’ sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan mental.

Beliau berkata, namun setakat ini pengambilan ‘piu piu’ masih terkawal di negeri ini dan hanya membabitkan bilangan kecil sahaja.

“Sebagai langkah pencegahan, kita sentiasa mengadakan taklimat di kawasan sekolah dan melalui program yang diadakan untuk memaklumkan mengenai bahaya pengambilan ‘piu piu’ ini, ” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada pegawai dan anggota AADK Kedah yang bertugas dengan cemerlang sepanjang tahun ini selain penghargaan kepada empat wartawan di negeri ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN