PETALING JAYA – Penduduk sekitar Labu Lanjut di sini mula berasa bimbang terhadap tahap keselamatan kawasan perumahan mereka susulan dakwaan kejadian pecah masuk rumah yang berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi tadi.
Kejadian itu tular selepas seorang pengguna Threads @madewithlove_adnita berkongsi peringatan kepada penduduk setempat supaya sentiasa berwaspada dan memastikan kediaman masing-masing berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di kawasan Dataran Abadi Labu Lanjut.
“Berhati-hati ya. Kawasan Dataran Abadi Labu Lanjut, Sepang ada kes pecah masuk rumah pukul 4.20 pagi.
“Pastikan pintu kunci, tingkap. Perhatikan kawasan sekeliling, jaga diri ya,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati perkongsian wanita tersebut mengundang kebimbangan penduduk berhampiran yang rata-ratanya tidak menyangka kejadian seumpama itu berlaku di kawasan kediaman mereka.
“Taman sebelah sahaja ini, takutnya,” komen @momlyssa_.
“Allahu, ya ke? Tidak selamat sudah sekarang,” luah @nadianatassa.
“Alamak, bahaya sudah ini,” ujar @mrsbosslynaz85.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna @atien.akiera mendakwa menyedari kehadiran anggota polis di kawasan berhampiran Villa Zanas pagi tadi.
“Patutlah pagi tadi ada polis dekat Villa Zanas itu, tetapi di kawasan lorong semak-semak,” katanya.
Hantaran berkenaan meraih lebih 10,000 tontonan selain menerima 140 tanda suka dan perkongsian semula. – KOSMO! ONLINE














