FARID Kamil menarik perhatian apabila berkongsi beberapa foto bersulam ayat-ayat cinta bersama wanita cantik difahamkan kekasih baharunya dalam media sosial.

‘Mungkin kita tidak bertemu sekadar mengisi kekosongan hati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih setahun menduda, pelakon Farid Kamil kembali mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran romantis bersulam ayat-ayat cinta tentang pertemuan dan takdir bersama seorang wanita cantik yang difahamkan sedang bertakhta di hatinya ketika ini.

Hantaran berkenaan turut disertai beberapa keping foto memaparkan pelakon filem Anwar: The Untold Story itu bersama wanita terbabit ketika menghadiri malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), Sabtu lalu.

“Ada pertemuan yang tidak pernah kita rancang, namun terasa seolah-olah telah lama tertulis dalam takdir. Dua jiwa, dua perjalanan, dua cerita kehidupan akhirnya dipertemukan pada waktu yang hanya Allah mengetahui hikmahnya.

“Mungkin kita tidak bertemu untuk sekadar mengisi kekosongan hati, tetapi untuk saling mengenali, memahami dan memperbaiki diri,” tulisnya di ruangan keterangan dengan tanda nama ‘Ku Laksamana Cinta’.

Menerusi perkongsian sama, pelakon berusia 45 tahun itu turut meluahkan harapan agar hubungan yang terjalin mendapat keberkatan serta dipermudahkan segala urusan.

“Aku tidak menjanjikan perjalanan tanpa ujian. Namun, jika Allah mengizinkan, biarlah langkah ini bermula dengan Bismillah, disertai keikhlasan dan berakhir dengan reda-Nya.

“Kerana cinta yang paling indah bukan sekadar menemukan dua hati, tetapi membawa kedua-duanya semakin dekat kepada Ilahi. Mungkin kita dipertemukan bukan secara kebetulan, tetapi kerana ada hikmah yang sedang Allah aturkan.

“Jika benar kita ditakdirkan bersama, semoga bukan hanya di dunia, tetapi hingga ke syurga,” tulisnya.

Perkongsian itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi positif daripada peminat dan netizen sehingga meraih lebih 1,000 komen di platform media sosial berkenaan.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa syukur, mendoakan kebahagiaan Farid serta memuji kejelitaan wanita berkenaan yang dikatakan sepadan dengannya.

“Alhamdulillah, sama cantik sama padan. Semoga dapat disegerakan perancangan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Aamiin,” tulis seorang pengguna Facebook.

“Pilihan dia memang tidak pernah mengecewakan,” komen seorang lagi netizen.

Selain itu, ada juga netizen yang menyifatkan wajah wanita terbabit mempunyai iras pelakon senior popular era 1990-an.

“Sepadan macam pinang dibelah dua. Mirip dengan pelakon Mas Anizan masa muda dulu,” tulis seorang pengikutnya di ruangan komen.

Hantaran itu turut dimuat naik dengan iringan lagu pilihannya iaitu Satu Kesan Abadi yang dipopularkan kumpulan Iklim. – KOSMO! ONLINRE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN