Mohamed Khaled pada sidang media pada Hari Apresiasi Tabika Kemas Program IQRA’ dan Fardhu Ain Tabika Kemas Parlimen Kota Tinggi Tahun 2026 di Lotus Desaru, hari ini. Foto oleh MASTURAH SURADI / KOSMO!

Mindef cadang tubuh jawatankuasa, perketat pemeriksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) bercadang menubuhkan jawatankuasa khas berhubung penemuan dadah oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bangunan Pergerakan Udara (AMS), Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu akan digerakkan selepas proses siasatan dilakukan oleh pihak polis.

Menurutnya, jawatankuasa itu dicadangkan bagi mengesan saki baki penglibatan pegawai atau anggota lain selain memperkemas prosedur pemeriksaan sedia ada.

“Memang kita akan tubuhkan (jawatankuasa) sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu kita akan semak,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Hari Apresiasi Tabika Kemas Program IQRA’ dan Fardhu Ain (IQRA’) Tabika Kemas Parlimen Kota Tinggi Tahun 2026 di Lotus Desaru, di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menegaskan, institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah mengkhianati amanah, sebaliknya kes penemuan barang terlarang itu hanya membabitkan segelintir individu tidak berintegriti.

“Kita faham kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Tapi dalam konteks ni susu sebelanga itu tak tak boleh dipersalahkan dia kerana nila setitik itu.

“Jadi saya berharap supaya masyarakat tidak menghukum institusi kerana daripada 120,00 anggota tentera yang berkhidmat, mungkin ini segelintir yang terlibat dalam kes ni. Yang lain tu masih lagi beramanah menjalankan tanggungjawab dan berintegriti untuk pastikan perkara-perkara ini tidak mereka lakukan.

“Jadi pokoknya institusi institusi masih berfungsi. Masih menjalankan tanggungjawab, amanah dan berintegriti untuk atas sebab itulah mereka ikut patuh kepada peraturan-peraturan yang telah disediakan dengan membuat laporan sebagainya dengan memaksa supaya barang itu di scan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, kementerian juga tidak akan berkompromi dalam soal itu kerana jika dibiarkan ia boleh menjejaskan kesiagaan dalam menjaga serta melindungi pertahanan dan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN