ARAU – Seorang lelaki tidak sempat menjual semula katrij mengandungi cecair dadah selepas ditahan ketika berada kereta api di Stesen KTM Arau di sini kelmarin.
Suspek yang berusia 22 tahun dan tidak bekerja ditahan polis bantuan Keretapi Tanah Melayu (KTM) pada pukul 8.40 malam kerana menghisap rokok elektronik atau vape di dalam pengangkutan awam tersebut.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pemeriksaan ke atas tubuh suspek tidak menemui sebarang barangan menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam beg kertas berwarna putih milik pemuda itu menjumpai 15 plastik katrij berisi cecair dipercayai dadah jenis MDMA seberat 0.75 gram bernilai RM1,500.
“Hasil soal siasat suspek mengaku bahan terlarang itu miliknya dan diperoleh daripada seorang lelaki di tepi jalan Taman Arkid, Sungai Petani pada harga RM100 seunit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, lelaki yang berasal dari Sungai Petani itu merancang untuk menjual semula katrij tersebut kepada kenalannya di sekitar Kuala Perlis pada harga RM150.
Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah.
Pemuda itu direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.














