Gambar hiasan.

AI ramal risiko jerebu lebih awal – Shamsul Arrieya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jerebu yang berulang setiap tahun bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah memberi kesan kepada kesihatan dan operasi persekolahan, sekali gus memerlukan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara.

Timbalan Dekan (Industri, Jaringan dan Pengkomersialan), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin berkata, kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu meramal kawasan berisiko kebakaran lebih awal.

Menurutnya, teknologi itu boleh menggabungkan data satelit, cuaca, kelembapan tanah dan sejarah kebakaran bagi mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan terbakar.

“Dengan teknologi yang betul, kita boleh berhenti terkejut setiap kali jerebu kembali,” katanya, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sebanyak 29 kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat pada 25 Ogos lalu, dengan bacaan tertinggi 182 di IPD Serian, Sarawak.

Dua hari kemudian, sebanyak 30 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup sementara, membabitkan 4,035 murid.

Katanya, lima aplikasi teknologi boleh dimanfaatkan termasuk pengesanan titik panas menerusi satelit, model ramalan kualiti udara, sistem penarafan bahaya kebakaran, sensor kos rendah serta amaran kesihatan melalui telefon pintar.

Beliau turut menyentuh pelancaran model CMAQ bernilai RM3.28 juta oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia pada Mac lalu.

Model berkenaan membantu meramal kualiti udara dan membekalkan data kepada NADMA, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan AI bergantung kepada ketepatan data tempatan, manakala sistem yang dibangunkan perlu mudah difahami dan boleh diakses masyarakat.

“Teknologi jerebu yang baik mesti menjawab soalan mudah. Adakah udara esok selamat? Apa yang perlu saya buat? Siapa yang perlu saya hubungi?” katanya.

Beliau mencadangkan data titik panas, ramalan CMAQ dan peta konsesi dibuka kepada umum, selain pemasangan sensor kualiti udara di sekolah berisiko tinggi, khususnya di Sarawak.

Katanya, keputusan kesiapsiagaan juga perlu mengambil kira ramalan IPU dan bukan hanya bacaan semasa bagi membolehkan tindakan awal seperti penyediaan pembelajaran dalam talian dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN