Ahmad Maslan dan Anwar.

Anwar terima permohonan maaf Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHENZHEN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat, namun mengingatkan supaya adab dan disiplin dalam urusan kerajaan sentiasa dipelihara.

Anwar berkata, beliau memahami suhu politik yang meningkat, khususnya ketika musim pilihan raya negeri boleh menyebabkan seseorang terlanjur kata ketika berkempen, namun perkara sedemikian tidak boleh dibawa ke dalam urusan rasmi kerajaan.

“… dan kalau selepas ini ada-ada sesiapa yang melanggar kaedah ini, sewajarnya meletakkan jawatan atau dinasihatkan untuk meletakkan jawatan kerana sistem kita tidak boleh berjalan begitu. Kalau tidak setuju, boleh dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Hendak tukar keputusan, boleh bawa dalam forum yang tertentu tetapi untuk kes khusus ini, saya ucap terima kasih dan menerima baik semangat yang ditunjukkan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menegur perkara berkenaan bagi memastikan adab dalam sistem pentadbiran kerajaan dan hubungan sesama anggota Jemaah Menteri dihormati.

Beliau berkata, Ahmad telah mengutus surat permohonan maaf secara rasmi dan menerima baik tindakan serta semangat yang ditunjukkan timbalan menteri itu.

“Setelah itu, Datuk Seri Ahmad Maslan telah menulis kepada saya memohon maaf atas keterlanjuran itu dan saya rasa kita terima baiklah, dengan mengingatkan jangan perkara ini berulang dan apa-apa teguran,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri berhubung penggunaan perkataan tidak sesuai dalam pantun ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat pada 16 Nov lepas.

Menerusi surat rasmi bertarikh 17 November lalu, Ahmad mengakui pemilihan kata dalam pantun yang dilafazkannya tidak sesuai dengan tanggungjawab beliau sebagai Anggota Pentadbiran kerajaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN