PUTRAJAYA – Pemimpin parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli digesa membubarkan parti berkenaan susulan prestasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan mereka hanya menjana 4.3 peratus undi popular berbanding sasaran 15 peratus.
Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, pembubaran parti Kancil penting selepas mengukur tahap penerimaan pengundi terhadap ideologi dan perjuangan Bersama yang sangat lemah selepas 15 daripada 16 calon parti Kancil hilang deposit.
“Tutup kedai adalah jalan terbaik buat parti Kancil, bubar sahaja parti tersebut dengan berlandaskan keputusan dua PRN yang lalu.
“Ia bagi mengelakkan pembaziran wang, tenaga calon dan sukarelawan yang berjuang untuk sesuatu yang ditolak secara majoriti oleh rakyat,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Lum Yong berkata, dengan pembubaran Bersama, para penyokongnya boleh kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) dan menuntut agenda reformasi dilaksanakan daripada dalam.
“Pastinya menuntut agenda reformasi dilaksanakan daripada dalam adalah lebih berkesan daripada menjerit-jerit di luar dan dianggap musuh kepada PH, jika mereka benar-benar sayang dan mahu laksanakan agenda reformasi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














