KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat koperal meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kemalangan berhampiran Jambatan Pulau Melaka, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.45 petang itu, Koperal Muhammad Alimi Kamarudin, 35, yang bertugas di Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, keadaan jalan basah dan licin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.Â
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa datang dari arah Panji menghala ke Kota Jembal dan dipercayai hilang kawalan disebabkan keadaan jalan yang basah sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel bahagian sisi hadapan kanan Proton X70.
“Mangsa terjatuh atas jalan dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.Â
“Kereta Proton X70 dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan dari arah Kota Jembal menghala ke Panji. Pemandu dan penumpang kenderaan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.














