Kemelut Menteri Besar Negeri Sembilan masih belum berkesudahan.

Jangan sampai jejas masa depan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kemelut politik negeri ini perlu diselesaikan segera secara matang dan berhemah bagi mengelak rakyat menjadi mangsa selain memastikan pentadbiran serta agenda pembangunan tidak terjejas.

Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B (M) Negeri Sembilan, Mohd. Syafiq Ikhwan Mohd. Isam berkata, sebarang perbezaan pandangan tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan sehingga menggugat kestabilan politik dan keharmonian masyarakat.

Katanya, rakyat khususnya orang muda begitu mendambakan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan baik berban­ding menyaksikan pertelingkahan po­litik yang akhirnya boleh menjejaskan masa depan negeri.

“Sebagai anak muda, kami mahukan peluang pekerjaan yang lebih luas, pembangunan seimbang, kemudahan infrastruktur lebih baik dan masa depan yang terjamin. Perkara ini sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Syafiq berkata, semua pihak perlu menghormati keunikan adat, budaya dan institusi ne­geri ini dengan memastikan sebarang pertikaian diselesaikan melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang.

“Kematangan sebuah ke­pim­pinan bukan hanya dinilai keti­ka dalam keadaan baik, tetapi melalui kebijaksanaan menyelesaikan masalah ketika berdepan cabaran. Kami tidak menuntut kesempurnaan, tetapi mahukan kestabilan, kematangan kepimpinan dan kerajaan yang benar-benar berfungsi demi rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Asrama Belia Malaysia Ne­geri Sembilan, Nurulazma Sha­fiqah Khairul Azhar berkata, ketidaktentuan politik yang berpanjangan boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rak­yat, terutama ketika pelbagai perancangan pembangunan ne­geri perlu diteruskan.

Katanya, pihak berkaitan perlu mengutamakan rundingan dan persefahaman bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, sekali gus memastikan pentadbiran kerajaan negeri kekal stabil, cekap dan berkesan.

“Apa yang rakyat harapkan ada­lah pentadbiran yang stabil, berfungsi dengan baik dan memberikan tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, rakyat tidak seharusnya melihat polemik itu dari sudut siapa menang atau kalah, sebaliknya semua pihak perlu mengetepikan kepentingan masing-masing demi menjamin masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, rakyat Ne­geri Sembilan, Misriah Mohamed Yahaya, 43, berharap kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara, selain memastikan segala agenda kepentingan rakyat tidak terjejas susulan perkembangan yang berlaku ketika ini.

“Harapan saya untuk melihat kerajaan yang stabil dengan pentadbiran tersusun dan berkesan.

“Dalam apa juga keadaan, agenda pembangunan, ekonomi, kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan demi kepentingan rak­yat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN