REMBAU – Hampir 1,000 mahasiswa menyertai program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang membincangkan kepentingan penjenamaan diri dan reputasi digital dalam kalangan penggiat seni.
Program anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu berlangsung selama dua hari bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah pada 17 November sebelum diteruskan di UiTM Kampus Rembau hari ini.
Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, penganjuran forum berkenaan merupakan inisiatif penting untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai dinamika dunia digital serta kesannya terhadap reputasi dan kelangsungan kerjaya seseorang anak seni.
Menurutnya, media sosial boleh menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan bakat, namun penyalahgunaannya berisiko menjejaskan reputasi seseorang, terutama menerusi fenomena budaya pembatalan atau cancel culture.
“Kerjasama berterusan dengan Finas membolehkan kami membawa pakar industri untuk berkongsi ilmu dengan mahasiswa.
“Dalam era media sosial hari ini, platform digital adalah medan terbaik untuk mempamerkan bakat, namun ia juga umpama pedang bermata dua.
“Sekiranya disalahgunakan, ia berisiko mencalarkan reputasi individu menerusi fenomena cancel culture yang semakin membimbangkan,” katanya.
Di UiTM Kampus Kuala Pilah, forum bertemakan Membina Jenama Peribadi Dalam Era Digital menampilkan pengarah, Shamyl Othman; pelakon, Nad Zainal; serta bakat muda, Idan Aedan sebagai panelis.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 36, berkata, golongan selebriti perlu menjaga eksklusiviti serta disiplin ketika mengendalikan kandungan media sosial agar tidak terjebak dalam provokasi yang tidak perlu.

“Sebagai selebriti, kita perlu mengekalkan nilai eksklusif. Pesanan pensyarah saya yang sentiasa dipegang ialah jangan biarkan kehadiran kita nampak bersepah.
“Jika wajah dan kehidupan kita terlalu terdedah di merata tempat, nilai istimewa itu akan pudar dan penonton tidak lagi berasa teruja untuk menyaksikan karya kita di layar lebar.
“Tugas utama saya adalah berlakon. Apabila pulang ke rumah, saya pula seorang isteri. Jadi, saya memilih untuk tidak mencampuri urusan orang lain atau memberikan ulasan berunsur provokasi.
“Saya lebih selesa berkongsi kandungan ringkas dan santai mengenai gaya hidup serta pendidikan anak-anak,” jelasnya.
Sementara itu, pelakon dan penerbit, Darling Ngasri turut menyertai sesi pada sebelah petang bagi membincangkan kepentingan membina penjenamaan diri supaya penggiat seni terus relevan dalam industri.
Tengku Khalidah pula berkongsi pandangan mengenai kepentingan kemahiran komunikasi yang baik serta bagaimana ia boleh dimanfaatkan secara positif dalam kehidupan seharian.
“Saya sentiasa percaya kemahiran komunikasi yang baik mampu membantu setiap individu meraih peluang lebih besar untuk kehidupan hari ini dan masa hadapan,” katanya.
Siri jelajah itu kemudian diteruskan di UiTM Kampus Rembau dengan menampilkan legenda industri seni, AR Badul yang merupakan pemenang kategori Pengarah Terbaik FFM8, selain pelakon, Sweet Qismina yang meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik FFM34 serta aktor aksi, Andy Teh.
Program Pesona Sinema dianjurkan WHAM dengan kerjasama Finas sebagai rakan strategik serta Sit Connect Asia.
Penganjuran program itu merupakan antara pengisian strategik bagi menyemarakkan sambutan menjelang malam kemuncak FFM35 yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 November ini.
Acara berprestij itu bakal dikendalikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson serta disiarkan secara langsung menerusi TV2. – KOSMO! ONLINE














